EA hari ini telah berkongsi lanjut mengenai FIFA Ultimate Team (FUT) bagi FIFA 23, iaitu mod yang kita boleh katakan sebagai mod paling popular di dalam permainan ini.
Anda boleh tonton video penuh untuknya di bawah.
Antara yang diperlihatkan adalah mod baharu di dalam FUT iaitu Moments. Ia adalah mod solo di mana pemain akan bermain melawan AI, tetapi berbeza dengan Squad Battle, sesi permainan akan tamat selepas melakukan kesemua objektif.
Moments akan mempunyai objektif-objektif berbeza dan menyelesaikannya akan memberi pemain Star yang boleh ditukar dengan pek, pemain ataupun barangan kosmetik.
Seterusnya adalah Chemistry juga kini menjadi lebih mudah dan membolehkan pemain untuk menggunakan lebih ramai pemain berbeza. Antara yang baharu adalah setiap pemain akan mempunyai tiga tahap untuk chemistry, iaitu kosong sehingga tiga.
Menariknya chemistry kini boleh berlaku di antara mana-mana pemain yang berhubung melalui kelab, negara ataupun liga tidak kira posisi mana yang dimainkan. Jika sebelum ini, CB hanya boleh berhubung dengan RB/LB contohnya, ia juga kini boleh berhubung dengan ST.
Satu lagi penambahan yang baik adalah jika pemain tidak mempunyai sebarang chemistry, ia tidak lagi akan menerima kesan negatif, sebaliknya ia tidak akan menerima sebarang tambahan stat. Manakala posisi, seperti diumumkan sebelum ini, setiap pemain akan mempunyai posisi alternatif dan hanya boleh ditukar ke posisi tersebut sahaja menggunakan satu jenis consumable.
Selain itu, EA juga memperlihatkan mengenai rentas platform yang sudah diumumkan sebelum ini dan juga barangan kosmetik untuk stadium.
FIFA 23 akan dilancarkan secara rasmi pada 30 September 2022 untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series dan PC.