Skip to main content

Marvel’s Spider-man oleh Insomniac Games dikeluarkan pertama kali pada tahun 2018 lepas, dan lebih kurang empat tahun kemudian, ia masih lagi antara permainan adiwira terbaik di pasaran sekarang, mungkin boleh dikatakan sedikit kalah kepada Marvel’s Spider-man: Miles Morales yang mempunyai lebih banyak bentuk permainan yang menjadikan ia lebih baik. Oleh itu, tibanya Marvel’s Spider-man Remastered untuk PC adalah sesuatu yang dialu-alukan.

Namun, persoalan sudah semestinya ditanya-tanya jika anda sudah menghabiskan Marvel’s Spider-man sebelum ini, adakah berbaloi untuk main sekali lagi? Saya boleh katakan ya jika kali terakhir anda main adalah di PS4 dan tidak pernah mencuba versi Remastered. Jika anda sudah mencuba versi Remastered di PS5, tidak banyak penambahan yang menjadikan ia berbaloi untuk diluangkan masa sekali lagi. Manakala, jika anda tidak pernah main, Marvel’s Spider-man Remastered adalah sesuatu yang harus dicuba.

Penceritaan Terbaik Spider-man

Dari segi ulasan, tidak banyak perbezaan di antara versi ini dengan versi yang saya main pada 4 tahun lepas, namun bagi yang tidak pernah mencuba, kekuatan utama Marvel’s Spider-man adalah pada penceritaan dan juga sistem pertempuran tetapi dengan sedikit kekurangan pada pengisian keseluruhan permainan.

Bagi penceritaan, saya boleh katakan yang ia mempunyai cerita yang lebih baik berbanding mana-mana filem Spider-man yang pernah dikeluarkan, dan ya termasuk juga Spider-man: No Way Home. Bagi saya, penceritaan di dalam permainan ini berjaya menyentuh pelbagai aspek seorang Spider-man, tidak kira sebagai seorang adiwira, ataupun sekadar Peter Parker. Selain itu, ia juga memberi peluang kepada pelbagai watak-watak lain untuk dikembangkan dengan baik contohnya MJ.

Watak-watak penjahat di dalam permainan ini juga dilakukan dengan baik, walaupun hadir dengan jumlah yang agak ramai akan tetapi setiapnya diberikan ruang yang baik untuk menjadi watak tersendiri. Antara kelemahan filem-filem adiwira termasuk juga di dalam MCU, adalah menghasilkan watak jahat yang benar-benar setanding dengan adiwira itu sendiri, dan permainan ini berjaya melakukannya. Ia tidak sempurna, tetapi masih sesuatu yang boleh dipuji.

Penceritaan juga bermula dengan Peter Parker sudah menjadi Spider-man lebih 8 tahun, oleh itu ia tidak dibebankan dengan penceritaan pengenalan yang mungkin sudah membosankan untuk ramai orang. Jika pemain inginkannya, serba sedikit penceritaan mengenai masa-masa lepas Peter Parker dan juga Spider-man sendiri, ia boleh didapati melalui dialog ataupun collectible yang boleh dikumpul sepanjang permainan.

Menjadi Spider-man

Sistem pertempuran di dalam Marvel’s Spider-man ini juga adalah sesuatu yang menjadikan ia permainan yang sangat menyeronokkan. Pertempuran adalah ringkas akan tetapi mempunyai lapisan berbeza seperti penjahat berlainan, senjata berbeza, menjadikan ia tidak terasa sama sahaja ataupun mendatar. Semasa perlawanan serangan biasa boleh dilakukan yang akan menumbuk penjahat, dan jika berterusan ia akan menjadi kombo dengan serangan yang berbeza.

Selain itu, Spider-man juga boleh menggunakan pelbagai gajet berlainan, seperti sawang elektrik, ataupun bom sawang, semua ini akan membantu di dalam pertempuran yang boleh menjadi sangat kelam kabut kerana jumlah penjahat yang ramai. Oleh itu, fokus utama pertempuran adalah mengawal penjahat yang ramai dan cuba memfokuskan serangan kepada yang lebih berbahaya terlebih dahulu. Ini menghasilkan satu pertempuran yang rancak terutama di tahap kesukaran yang tinggi.

Mengikut keadaan, Spider-man juga boleh bertempur dengan menyelinap, menyerang tanpa disedari oleh penjahat lain. Ia mempunyai sistem di mana, Spider-man boleh melihat jika seseorang penjahat itu boleh diserang tanpa disedari oleh penjahat lain ataupun tidak. Ia baik sebagai permulaan tetapi saya merasa ia adalah membosankan jika digunakan terlalu kerap, bertempur secara terus adalah lebih menarik, bahkan lebih cepat jika dilakukan dengan baik.

Serangan ini akan mengisi satu meter yang kemudiannya boleh digunakan sama ada untuk menyembuh ataupun melakukan gerakan Finisher apabila meter tersebut penuh. Finisher adalah serangan yang akan mengalahkan penjahat secara terus (kecuali bos penjahat).

Spider-man juga akan mempunyai satu ‘Power’ yang boleh digunakan apabila mempunyai caj yang penuh, pemain memilih satu power daripada pelbagai pada satu masa, di mana ia boleh didapatkan dengan mendapatkan kostum-kostum yang terdapat di dalam permainan ini. Kostum ini boleh didapatkan dengan menukar token-token yang merupakan “mata wang” di dalam permainan ini.

Pengisian Dunia Terbuka

Token ini dibahagikan kepada beberapa jenis dan ia boleh didapatkan dengan melakukan misi-misi sampingan. Antaranya adalah Backpack Token yang memerlukan Spider-man mencari backpack lama yang disimpan di pelbagai sudut di Bandar New York, ia juga akan menceritakan semula kisah-kisah lama Peter Parker dan Spider-man. Terdapat juga Base Token yang memerlukan Spider-man untuk menumpaskan penjahat di satu kawasan, ia akan mempunyai beberapa gelombang penjahat yang perlu dikalahkan.

Selain dua token dan misi ini, terdapat juga beberapa mis yang lain yang akan menjadi pengisi untuk dunia terbuka permainan ini. Ia adalah menarik, dan juga berguna sekarang sistem token yang turut akan digunakan untuk meningkatkan tahap gajet. Namun, setelah satu masa, ia akan terasa bosan dan berulang. Ia merupakan kelemahan utama permainan ini semasa saya ulas pertama kali pada tahun 2018, dan masih lagi sama kerana versi PC ini tidak melakukan sebarang perubahan untuknya kecuali anda kini boleh menetapkan untuk melangkau keperluan menyelesaikan permainan mini tekaria.

Setiap aktiviti sampingan ini mempunyai penceritaan tersendiri akan tetapi ia dilakukan di secara ringkas sahaja menjadikan aktiviti-aktiviti ini terasa kosong dan sekadar untuk mengisi permainan ini dan menjadikan dunia terbuka tidak membosankan. Terdapat juga misi sampingan yang mempunyai penceritaan lebih mendalam akan tetapi ia adalah sedikit sahaja. Semasa saya ulas permainan ini buat pertama kali, saya mengatakan ini adalah sebab utama mengapa permainan ini terasa mempunyai kandungan yang terhad, akan tetapi jika anda membeli versi ini, anda juga akan mendapat DLC untuknya iaitu The City That Never Sleeps yang memberi penambahan penceritaan kepada permainan ini.

Kelebihan Versi PC

Kelebihan permainan di PC sudah semestinya melalui pelbagai tetapan grafik yang boleh dilakukan, kesemua tangkapan skrin yang saya sertakan di dalam ulasan ini, dimainkan di PC dengan spesifikasi seperti berikut;

  • CPU: AMD Ryzen 5 3600 (3.66Ghz)
  • GPU: NVIDIA GeForce RTX 2060 (6 GB)
  • RAM: 16 GB

Seperti diharapkan, Marvel’s Spider-man menyertakan pelbagai tetapan grafik yang boleh diubah mengikut kehendak pemain termasuk juga Field of View yang bagi saya tidak terlalu penting untuk permainan ini. Selain itu, jika menggunakan kad grafik yang menyokongnya, ia juga mempunyai tetapan Ray-Tracing. Ia juga menyokong pelbagai cara Upscale seperti DLSS untuk kad grafik NVIDIA dan FSR 2.0 untuk kad grafik AMD.

Selain itu, ia juga mempunyai Dynamic Resolution Scaling yang akan secara automatik mengubah tetapan semasa bermain untuk mencapai kadar segar semula yang diinginkan. Saya dapati tetapan ini terlalu agresif di dalam menukar kualiti grafik, dan kebanyakan masa bermain, saya menutupnya. Saya juga menutup fungsi Ray Tracing, yang member impak FPS terlalu tinggi iaitu mencecah 20FPS berbanding tidak menggunakannya.

Jika anda ingin prestasi yang lebih baik saya cadangkan untuk menggunakan DLSS ataupun AMD FSR 2.0, agar mendapat kelancaran yang lebih tinggi tanpa mengurangkan tanpa terlalu memberi kesan kepada kualiti grafik. Namun, sepanjang saya bermain permainan ini, saya menutup kesemuanya, dan sekadar menggunakan tetapan High yang bagi saya sudah mempunyai kualiti grafik yang cukup baik.

Perbandingan menggunakan DLSS Performance dan tidak:

Menggunakan tetapan tersebut, ia memberikan saya kadar kelancaran dari 55FPS sehinggalah 90FPS, perbezaan jauh ini adalah disebabkan bahagian bandar semasa Spider-man melompat-lompat ataupun semasa melakukan aktiviti sampingan yang kebanyakan di bandar, ia memerlukan kuasa yang tinggi. Sukar untuk mendapat FPS lebih tinggi daripada 70 semasa di bandar, dan ia mungkin turun bawah 60FPS.

Namun, apabila memasuki bahagian penceritaan, ataupun sesi permainan yang lebih tertutup seperti di dalam bangunan, ataupun adegan, FPS akan meningkat sehingga 90FPS. Oleh itu, saya cadangkan semasa memilih tetapan untuk permainan ini, ia dilakukan dengan menguji di bahagian bandar. Jika ia elok di bahagian tersebut, ia tidak akan mempunyai masalah di bahagian-bahagian lain.

Marvel’s Spider-man juga menyokong monitor ultra-lebar, sesuatu yang masih tidak disokong oleh mana-mana konsol, saya mencuba di monitor dengan resolusi 21:9 dan saya tidak merasakan ia adalah pengalaman yang lebih baik berbanding resolusi biasa seperti 16:9. Anda akan dapat melihat lebih banyak perkara di bahagian kanan dan juga kiri, akan tetapi oleh kerana kebanyakan masa Spider-man akan berada di tengah, itu sahaja yang akan menjadi fokus mata saya. Namun, jika anda memiliki monitor ultra-lebar, ia adalah bagus untuk permainan ini menyokongnya.

Bagi alat kawalan pula, saya mencuba untuk bermain menggunakan papan kekunci dan tetikus, akan tetapi walaupun dengan segala tetapan yang boleh diubah, saya tidak selesa bermain permainan ini. Alat kawalan bagi saya adalah cara terbaik untuk bermain, dan perkara yang menarik adalah permainan ini menyokong fungsi-fungsi DualSense di PC. Oleh itu, jika anda mempunyai DualSense, sambungkan ke PC dan main permainan ini menggunakannya, dan anda boleh rasa fungsi yang kebiasaannya hanya di PS5 iaitu picu penyesuai dan juga getaran haptik.

Rumusan

Akhir kata, Marvel’s Spider-man walaupun sudah berumur hampir 4 tahun akan tetapi ia masih lagi merupakan permainan adiwira yang terdapat di pasaran sekarang. Oleh itu jika anda tidak pernah mencuba ataupun menghabiskannya, dan mempunyai PC yang spesifikasi sederhana, ia adalah permainan yang harus dimiliki.

Namun, jika anda sudah main sebelum ini, ia mempunyai bentuk permainan yang berulang dan tidak sebegitu menarik untuk dimainkan kali kedua, terutama dengan segala aktiviti-aktiviti yang disediakan. Anda boleh sekadar bermain penceritaan utama sahaja, tetapi ia akan lebih merugikan. Jika anda bermain di PS4 sebelum ini, versi PC boleh dicuba kerana menawarkan kualiti grafik serta kelancaran yang lebih baik mengikut tetapan yang dipilih.

Penafian: Marvel’s Spider-man Remastered PC disediakan oleh SIES untuk tujuan ulasan ini.

Marvel's Spider-man Remastered (PC)
Marvel's Spider-man Remastered masih lagi antara permainan adiwira terbaik yang harus dicuba oleh semua, tetapi bentuk permainan berulang tidak memberi sebab yang cukup untuk main kali kedua.
Positif
Penceritaan Spider-man Yang Baik
Pertempuran Yang Rancak Dan Menarik
Kualiti Grafik Yang Baik
Negatif
Aktiviti Dunia Terbuka Berulang
Prestasi Grafi Di Kawasan Bandar Tidak Menentu
8

Leave a Reply