Alive Drift ataupun juga dikenali sebagai Alivehoon adalah filem dari Jepun arahan Ten Shimoyama dan ditulis ole Koumei dan Yu Sakudo. Ia adalah filem lumba kereta ataupun secara khususnya “drifting” yang memfokuskan kepada watak bernama Koichi Oba lakonan Shuhei Nomura. Dia merupakan seorang yang lebih suka menyendiri dan tidak pandai bergaul dengan orang-orang lain. Namun, dia mempunyai satu hobi iaitu bermain Gran Turismo, iaitu permainan simulasi lumba kereta oleh PlayStation. Dengan bersembunyi dari dunia luar, dia sepenuhnya memfokuskan masanya bermain permainan tersebut dan tanpa disedari mempunyai kemahiran seperti pelumba kereta profesional.

Dua watak utama lain adalah Ryosuke Muto lakonan Takanori Jinnai yang merupakan pelumba drift veteran bersama dengan anak perempuannya Natsumi Muto lakonan Ai Yoshikawa. Selepas terbabas di satu perlumbaan, Ryosuke Muto tidak lagi dapat berlumba dan pasukan lumba keretanya iaitu Alive mungkin terpaksa ditutup kerana tidak lagi mendapat tajaan. Pada masa sama, mereka juga tidak dapat mengupah pelumba baharu kerana tidak mempunyai bajet yang mencukupi. Dengan cubaan untuk menyelesaikan masalah ini, Natsumi Muto dikenalkan kepada Koichi Ohba dan memintanya untuk mencuba kereta lumba yang sebenar.

Pada awalnya idea tersebut ditentang oleh Ryosuke Muto akan tetapi selepas melihat sendiri kemahirannya walaupun sebagai yang baru sahaja berlumba, dia bersetuju untuk menjadikan Koichi Ohba sebagai pelumba bagi pasukan Alive dan penceritaan seterusnya akan memfokuskan kepada bagaimana Koichi belajar untuk berlumba dengan sokongan oleh pasukan Alive dan juga bagaimana dia menghadapi masalah tidak yakin diri.

Secara keseluruhannya saya boleh katakan penceritaan untuk filem ini adalah mudah untuk diikuti, ia tidak rumit dan drama yang ditampilkan juga tidak mendalam. Menjadikan ia satu filem kasual yang tidak berat. Ia mungkin baik untuk sesetengah penonton, akan tetapi bagi saya ia membuatkan filem ini sedikit membosankan. Masalah utama bagi saya adalah filem ini gagal untuk mewujudkan perwatakan ataupun memberi pengenalan yang baik kepada mana-mana watak. Setiap watak hanya diperlihatkan secara ringkas, masalah mereka, kelebihan mereka dan sebagainya hanya sekadar sekilas lalu sahaja.

Kekurangan perwatakan ini menjadikan perkembangan watak sedikit ganjal, kerana watak yang tidak bermula agak sukar untuk melihat ia bergerak. Saya faham apa yang cuba disampaikan mengenai watak-watak ini, akan tetapi saya tidak boleh membuang perasaan, filem ini mempunyai bahagian yang besar tetapi telah dipotong. Ini juga secara langsung mengganggu sedikit perhubungan di antara watak-watak ini. Bahagian-bahagian yang sepatutnya memberi sentuhan emosi, tidak memberi apa-apa perasaan yang bagi saya adalah perkara mengecewakan.

Selain itu, penceritaan ini juga memperlihatkan bagaimana perlumbaan melalui permainan video dapat membantu di dalam perlumbaan sebenar, terutama melalui penggunaan simulasi, akan tetapi sekali lagi ia dilakukan secara permukaan sahaja yang tidak memberi kesan seperti yang diinginkan. Terutama apabila melihat bagaimana filem ini dipromosi sebagai dari maya ke realiti, namun ia tidak diketengahkan dengan baik dan terasa sesuatu yang sampingan sahaja.

Kekurangan pada penceritaan dan perwatakan ini serba sedikit dikurangkan kesannya melalui adegan-adegan lumba yang dilakukan dengan sangat baik sekali. Saya boleh katakan ia adalah Top Gun untuk filem lumba kereta dengan setiap perlumbaan dilakukan seperti satu perlumbaan sebenar. Penggunaan sudut kamera yang baik, memperlihatkan bagaimana tayar kereta berterbangan semasa drift adalah sesuatu yang saya seorang yang tidak pernah mengikut mengenai perlumbaan drift terasa kagum.

Setiap aksi juga diperlihatkan secara jelas, tidak menggunakan helah kamera seperti bergegar ataupun menggunakan suntingan pantas, sebaliknya ia diperlihatkan dengan jelas bagaikan menonton satu rangkuman perlumbaan yang sebenar. Saya sentiasa teruja setiap kali mereka mula berlumba, tambahan lagi setiap perlumbaan dilakukan dengan menarik tetapi tidak sehingga menjadi tidak masuk akal. Saya bukanlah peminat sukan lumba drift, tetapi saya merasakan bagi yang mengikuti sukan ini mesti menyukai apa yang dipamerkan.

Ia tidak menggunakan helah kamera, akan tetapi ia adalah menggunakan beberapa kamera yang kualiti berbeza, saya tidak pasti jika disengajakan ataupun mereka tiada pilihan. Pada awalnya saya sedikit terganggu kerana ada masa kualiti gambar adalah terang dan baik, ada masa ia menjadi lebih kurang berkualiti. Namun, setelah ia sering digunakan terutama apabila melihat aksi kereta dan juga semasa di dalam kereta, saya dapati ia memberi perasaan yang aksi tersebut menjadi lebih tegang. Oleh kerana itu, saya merasakan ia disengajakan untuk memberi perasaan realisme.

Sedikit masalah mengenai perlumbaan ini adalah untuk orang seperti saya yang tidak biasa dengan peraturan mengenai lumba ini, tambahan lagi perlumbaan drift tidak semestinya kereta di depan akan menang, ia sedikit mengelirukan. Saya merasakan oleh kerana watak Koichi Ohba sendiri adalah seseorang yang baharu di dalam dunia ini, filem ini sepatutnya mengambil masa untuk menjelaskan mengenai perlumbaan ini yang sekali gus akan memberi sedikit kefahaman kepada penonton. Tanpanya, saya sedikit keliru dan sekadar mengetahui siapa yang menang dan kalah sahaja.

Akhir kata, Alive Drift adalah satu filem yang baik dan menarik untuk ditonton bagi yang ingin menonton filem lumba kereta tetapi tidak mahu ia menjadi “mengarut” seperti Fast & Furious. Setiap aksi lumba kereta dilakukan dengan berkualiti dan setiap aksi nampak dengan sangat jelas. Namun, ia mempunyai kekurangan yang sangat jelas di dalam penceritaan kerana banyak bahagian tidak dilakukan dengan kemas membuatkan saya sedikit sukar untuk mempunyai perhubungan dengan mana-mana watak menjadikan setiap elemen penceritaan terasa janggal dan kurang menarik.

Penafian: Tayangan untuk filem Alive Drift disediakan oleh Warner Bros untuk tujuan ulasan ini. Ia akan ditayangkan bermula pada 11 Ogos 2022 di Malaysia.

Alive Drift
Alive Drift adalah satu filem lumba kereta yang berkualiti memperlihatkan bagaimana lumba kereta secara maya boleh menjadi realiti, tetapi lemah di bahagian penceritaan dan watak.
Positif
Aksi Lumba Kereta Yang Padu
Pengunaan Kamera Yang Baik
Negatif
Penceritaan Dan Perwatakan Yang Kurang Menyerlah
7

Sohor Kini