Filem seram adalah makanan aku. Aku amat suka tonton pelbagai jenis filem seram, tetapi tahap seram aku berbeza dengan orang ramai yang aku kenal. Ramai di antara mereka lebih sukakan konsep adegan takut kejut (jump scare), tetapi aku sukakan konsep yang boleh membuatkan bulu roma aku meremang, buat aku tidak sedap hati untuk pergi ke tandas waktu malam serta adegan yang mengerikan seperti melibatkan darah/organ berkecai atau yang seumpama dengannya.

Zaman sekolah dahulu, filem-filem seram Indonesia adalah kegemaran aku. Selepas sekian lama tidak menontonnya, aku cuba tonton filem Pengabdi Setan oleh Joko Anwar. Aku musykil kerana ramai katakan filem ini seram, tetapi ketika aku tonton aku langsung tidak rasa takut atau terkejut. Ia seumpama aku tonton filem suspen biasa sahaja dan membuatkan aku kecewa dengan filem ini. Tetapi dari segi penceritaan, prestasi lakonan dan kualiti produksi filem ini berjaya membuatkan aku teruja dan tidak sabar untuk tonton sekuel.


Penceritaan

Pengabdi Setan 2: Communion adalah sekuel secara terus kepada filem pertama. Garis masa filem ini adalah beberapa tahun selepas filem pertama di mana keluarga Suwono sudah pun tinggal di rumah flat yang kita lihat pada pengakhiran filem pertama. Sedikit peringatan mengenai filem pertama, Mawarni Suwono iaitu Ibu kepada Rini, Toni, Bondi dan Ian pernah memuja setan ketika beliau muda untuk mencipta nama sebagai penyanyi dan juga untuk mendapatkan anak.

Tetapi selepas percubaan untuk memutuskan janji yang beliau lakukan dengan setan, Ibu mula sakit dan banyak kecelakaan mula berlaku ke atas keluarga mereka termasuk Ian yang disahkan sebagai anak setan merelakan diri pergi ke sekumpulan kultus yang memuja setan yang merasuki ibu dan mengganggu keluarga Suwono.

Filem kedua ini menceritakan dengan lebih lanjut mengenai kumpulan kultus ini dan mendedahkan siapakah sebenarnya hantu atau makhluk di sebalik Ibu. Filem ini fokus kepada rumah flat di mana mereka tinggal yang berkait rapat dengan kumpulan kultus ini. Ia turut menceritakan kisah sebenar Bapak, dan merungkai lebih banyak perkara yang tidak jelas yang berlaku dalam filem pertama.

Betul ke seram?

Sebelum aku beritahu sama ada adakah filem kedua ini lebih seram ataupun tidak, aku akan ceritakan sedikit pengalaman menonton aku. Filem ini mempunyai konsep penceritaan yang menarik. Pada aku, untuk sebuah filem seram Indonesia Joko Anwar cuba sesuatu yang berbeza untuk menarik perhatian orang ramai. Cubaan beliau ini adalah satu kejayaan seperti yang dibuktikan oleh kutipan tiket di Indonesia.

Konsep yang digunakan dalam filem ini seolah aku bukan tonton filem Indonesia tetapi filem seram Amerika Syarikat. Ia lebih moden, lebih seni dan mempunyai banyak butiran kecil yang sesetengah sutradara mungkin tidak hiraukan pun tetapi Joko Anwa ingin memastikan setiap butiran kecil ini penting agar pengalaman menonton lebih imersif dan memuaskan.

Filem ini banyak meletakkan easter egg di setiap adegan untuk penonton yang berminat cuba selesaikan misteri ini sendiri, selain bergantung kepada pelakon yang membawa watak masing-masing. Setiap easter egg ini boleh memberi penjelasan lanjut mengenai rahsia di sebalik kumpulan kultus yang memuja Ibu dan siapakah dalang di sebalik filem pertama dan dalam filem kedua ini. Walau bagaimanapun, ia bukanlah satu kewajipan untuk penonton mencari dan cuba menyelesaikan tekaria yang tersembunyi. Menonton seperti biasa pun sudah syok dan menarik.

Pengabdi Setan 2 mempunyai penceritaan yang sedikit bercelaru. Ia sedikit serabut seperti tidak pasti ingin sampaikan yang mana terlebih dahulu, sebaliknya penceritaan dalam filem ini adalah seakan ombak yang kejap menarik, kejap perlahan dan kejap mengejutkan. Ia mempunyai banyak sub-plot untuk kisah berbeza oleh pelbagai watak. Walaupun nampak seperti tidak berkaitan, tetapi ia berkait antara satu sama lain.

Kemudian yang menjadikan filem kedua ini lebih menarik adalah lokasi. Disebabkan filem ini berlaku di rumah flat atau yang mereka gelar sebagai rumah susun, setiap watak mempunyai ruangan yang lebih luas untuk meneroka berbanding filem pertama di sebuah rumah kampung biasa sahaja. Dengan lokasi yang besar, tinggi dan luas, elemen seram dan kejutan juga boleh diperbanyakkan dan menjadikan pengalaman menonton lebih menarik.

Filem ini pada aku sedikit lebih seram berbanding filem pertama. Walaupun aku masih tidak rasa takut atau terkejut, tetapi ia berjaya membuatkan bulu roma aku meremang untuk seketika. Aku tidak rasa begitu takut kerana banyak elemen seram mereka klise dan mengitar semula kaedah sama daripada filem pertama. Tetapi ada beberapa adegan yang mengerikan dan membuatkan aku menjerit kegembiraan kerana dapat lihat elemen ganas yang dahsyat.

Pengabdi Setan 2 turut mempunyai kualiti produksi yang lebih tinggi. Joko Anwar menggabungkan kesan khas praktikal dan juga CGI yang nampak cukup hebat. Ada sesetengah masih tidak meyakinkan aku, tetapi ia tetapi nampak hebat. Suasana dalam filem ini memberi vibe filem The Shining, siri TV Stranger Things dan beberapa elemen seram dalam filem-filem Conjuring Universe.

Runut bunyi dalam filem ini juga sangat dahsyat dan sedap. Hanya mendengar runut bunyi filem ini sahaja sudah rasa seram seriau, kerana menurut Joko Anwar setiap muzik menggunakan konsep Kepler Effect di mana setiap instrumen dan vokal berbunyi secara melingkar di orbit atau berputar dengan kesan yang memberikan herotan untuk pengalaman yang lebih menyeramkan.

Tidak lupa juga yang filem ini mempunyai elemen komedi, di mana terdapat watak yang meredakan keredaan ketika sesuatu situasi rumit berlaku. Sedangkan adegan ini sepatutnya seram yang akan membuat penonton menjerit, tetapi kerana cara penulisan, suntingan dan cara lakonan ia membuatkan aku ketawa terbahak-bahak.

Potensi menjadi trilogi!

Setiap pelakon dalam filem ini juga amat hebat dan berjaya membawakan watak mereka dengan jayanya. Setiap emosi nampak realistik dan turut memberi kesan kepada penonton. Seperti yang aku katakan tadi, dalam filem ini turut mempunyai easter egg dan tekaria yang boleh cuba diselesaikan oleh penonton. Setiap perkara ini jika digabungkan akan merungkai satu misteri yang dahsyat. Dengan bakat pelakon dan misteri ini, Pengabdi Setan dilihat ada potensi untuk menjadi satu trilogi.

Dalam filem pertama terdapat satu watak aneh di hujung filem iaitu Batar dan Darminah. Watak ini masih kekal misteri sehingga filem kedua dan sukar untuk faham siapakah mereka kecuali jika filem ini ditonton sekurang-kurangnya dua kali untuk dengar dengan teliti perbualan mereka berdua. Jika anda tonton filem ini, pastikan anda memberi tumpuan kepada watak ini untuk fahamkan apakah yang Joko Anwar cuba sampaikan. Menurut beliau dalam sidang media di Malaysia, Pengabdi Setan ini mempunyai satu dunia yang luas dengan banyak potensi untuk cerita berbeza. Apakah maksud beliau ini, anda perlu tonton.

Kesimpulan

Pengabdi Setan 2: Communion adalah sebuah filem seram yang cukup menarik untuk ditonton. Ia mempunyai satu konsep penceritaan yang unik dan memberi pengalaman menonton yang lebih menarik berbanding filem pertama. Elemen seram juga lebih seram berbanding filem pertama dengan muzik yang lebih mengerikan, prestasi lakonan yang mantap serta kualiti produksi yang lebih tinggi. Untuk aku, ia mungkin tidak cukup seram, tetapi untuk orang ramai aku yakin ia akan memberikan satu pengalaman yang berbeza untuk sebuah filem seram Indonesia.

Satu sahaja kekecewaan aku, filem ini di Indonesia adalah untuk tontonan penonton 13 tahun ke atas. Tetapi masuk sahaja di Malaysia adalah untuk 18 tahun ke atas. Itu pun selepas ada adegan dipotong yang mana kalau ada adegan itu pasti aku lebih teruja tonton. Reaksi aku ketika adegan itu menjerit keseronokan yang tidak menjadi kerana kecewa. Pengabdi Setan 2 juga adalah filem IMAX pertama Asia Tenggara dan jika anda inginkan pengalaman yang lebih umpphh aku cadang tonton dalam format ini.

Ulasan ini adalah berdasarkan akses awal yang diberikan oleh pihak GSC. Tayangan umum akan bermula 11 Ogos, esok.

Pengabdi Setan 2: Communion
Tayangan bermula 11 Ogos
Pengabdi Setan 2: Communion adalah sekuel secara terus daripada filem pertama. Ia meneruskan kisah keluarga Suwono iaitu Rini, Toni dan Bondi. Kali ini ia berlaku di sebuah flat dan Ibu kembali mengganggu. Keluarga Suwono dan penduduk flat perlu cuba mencari jalan menyelamatkan diri daripada kumpulan kultus misteri yang memuja Ibu.
Positif
Elemen seram yang lebih lebih baik
Kualiti produksi yang lebih mantap
Konsep penceritaan yang menyeronokkan
Prestasi lakonan yang hebat
Negatif
Penyampaian cerita yang tidak memuaskan
Masih banyak misteri yang tidak dijelaskan dengan baik
8

Sohor Kini