Ulasan Predator GD711 – Projektor Gaming Yang Baik Tetapi Mahal

Kebiasaan pemain akan mempunyai pilihan di antara TV ataupun monitor untuk dijadikan sebagai paparan bagi sesi bermain permainan video. Namun, sejak setahun dua ini, projektor juga telah menjadi pilihan pemain yang ingin bermain secara kasual ataupun secara lebih serius. Oleh itu, tidak mengejutkan apabila Acer juga mula menawarkan projektor yang khusus untuk permainan video dan antaranya adalah Predator GD711.

Predator GD711 mempunyai kebanyakan perkara yang saya inginkan dari sesuatu paparan untuk permainan video, ia menyokong resolusi dan juga kadar segar semula yang tinggi. Ia juga menyokong fugnsi-fungsi baik untuk permainan video seperti Kadar Segar Semula Boleh Ubar (VRR), menjadikan ia pilihan yang baik sebagai alternatif untuk TV ataupun monitor. Namun, mempunyai beberapa kekurangan yang akan membuatkan anda ternanti-nanti edisi seterusnya bagi projektor ini.

Spesifikasi

Predator GD711 menyokong paparan dengan resolusi 3840 x 2160 dan merupakan satu projektor LED. Bagi kadar segar semula ia menyokong sehingga 240Hz mengikut tetapan resolusi. Dengan ia mempunyai dua palang HDMI 2.0, jika anda ingin menggunakan resolusi 4K ia hanya terhad kepada 60Hz, dan perlu rendahkan resolusi untuk kadar segar semula yang lebih tinggi.

Teknologi-teknologi yang disokong oleh projektor ini adalah Kadar Segar Semula Boleh Ubah (VRR), HDR 10, mod permainan dan juga merupakan projektor pintar dengan aplikasi Aptoide TV terpasang dan boleh digunakan secara nirwayar melalui dongle yang disediakan untuk wifi ataupun menggunakan aplikasi Miracast.

Ia ditawarkan dengan harga RM4999.

Paparan

Predator GD711 mempunyai paparan yang sangat baik, saya menggunakan projektor ini lebih kurang 2 minggu dan tidak merindui untuk kembali menggunakan monitor ataupun TV kerana apa yang dipaparkan sudah cukup memuaskan dan boleh dibandingkan dengan paparan yang diberikan oleh monitor ataupun TV.

Projektor ini menyertakan pelbagai mod terbina mengikut penggunaan, akan saya dapati menggunakan mod lalai sudah mencukupi untuk kebanyakan keadaan, namun dengan adanya mod-mod ini, tambahan itu ia juga boleh ditetapkan secara sendiri boleh memastikan yang pengguna dapat kualiti paparan yang dikehendaki.

Sokongan resolusi yang tinggi dan juga kadar segar semula juga antara sebab mengapa saya tidak lagi memikirkan mengenai monitor terutamanya. Menggunakan PlayStation 5 dan Xbox Series X, ia menyokong resolusi 1080 dengan kadar segar semula sehingga 120Hz, lebih tinggi di PC. Saya mencuba permainan seperti Fortnite dan Forza Horizon 5 untuk 120Hz, dan ia boleh memaparkan tanpa sebarang masalah.

Saya tidak mendapat sebarang screen-tearing, ataupun mana-mana masalah yang berkait. Jika mempunyai sebarang masalah, projektor ini juga menyokong VRR, yang turut disokong oleh PlayStation 5 dan Xbox Series. Saya mencuba di kedua-dua konsol, dan fungsi ini boleh digunakan tanpa sebarang masalah.

Bagi sokongan HDR pula, mengikut tetapan di PlayStation 5, serta Xbox Series X, ia menyokong fungsi HDR, akan tetapi saya mempunyai masalah untuk menggunakan fungsi ini di PlayStation 5 tetapi tiada masalah untuk Xbox Series X. Apabila ia berfungsi dengan baik, ia memberikan warna yang lebih baik tetapi saya kebiasaannya menutup fungsi ini dan tidak terasa perbezaan yang ketara.

Rekaan

Bersesuaian dengan konsep “projektor gaming”, Predator GD711 hadir dengan rekaan yang bergaya seperti satu PC. Ia hadir dengan satu pilihan warna sahaja iaitu hitam, dengan butang fizikal diletakkan di bahagian atas. Butang-butang ini adalah terasa tekstil dan mudah untuk ditekan akan tetapi mungkin sedikit sukar untuk dilihat apabila berada di dalam gelap.

Bahagian bawa terdapat tiga pendiri yang boleh diubah ketinggian, sedikit mengecewakan adalah ia sekadar perlu diputar berbanding mempunyai gerigi yang boleh memberikan perubahan yang lebih tepat. Oleh itu, jika ingin menyamakan kedudukan, anda perlu cuba dan lihat.

Kesemua I/O berada di bahagian belakang, ia mempunyai dua port HDMI 2.0, dua USB dan juga picu audio. Menggunakan HDMI 2.0 di kedua-dua port adalah perkara yang mengecewakan terutama untuk penggunaan jangka masa panjang.

Buat masa ini, HDMI 2.1 mungkin tidak diperlukan akan tetapi di masa hadapan dengan lebih banyak permainan menyokong resolusi tinggi dengan kadar kelancaran melebihi 60FPS, HDMI 2.1 tidak lagi sekadar menjadi sesuatu yang elok untuk ada, tetapi menjadi diperlukan.

Penggunaan

Predator GD711 merupakan projektor lontaran jauh, oleh itu anda memerlukan ruangan serta pemasangan yang bersesuaian untuk mendapatkan paparan yang terbaik bergantung kepada besar ataupun kecil paparan yang diinginkan.

Namun, saya boleh katakan walaupun untuk mendapatkan saiz paparan seakan-akan TV 49-inci ataupun lebih besar, ia tidak lah memerlukan ruangan yang luas. Di bilik sederhana besar saya boleh meletakkan projector dan juga kerusi di bahagian belakang dan masih mempunyai ruang yang mencukupi untuk tidak menjadikan bilik terlalu sesak.

Apabila disambung dengan konsol ataupun PC, ia sepatutnya mempunyai fungsi auto-search yang mencari paparan yang aktif pada sesuatu masa, akan tetapi saya dapati fungsi ini sering akan membuka bahagian Aptoide berbanding mencari konsol, oleh itu saya lebih terpaksa menggunakan butang fizikal yang terdapat di projektor untuk menukarnya.

Ia juga mempunyai alat kawalan jauh, akan tetapi saya mempunyai pengalaman yang tidak menentu, ada masa saya boleh menggunakannya untuk menukar paparan, ada masa tidak berfungsi. Namun, tidak mempunyai masalah untuk menukar volume ataupun mengakses tetapan.

Projektor ini dilengkapi dengan fungsi “Auto-keystone” dan “2D Keystone” untuk mengubah paparan agar ia tidak di dalam keadaan yang tepat. Fungsi auto di kebanyakan percubaan saya berfungsi dengan baik, tidak kira kedudukan apa yang saya gunakan untuk projektor ini.

Jika anda mempunyai bilik yang khusus untuk projektor, ia mempunyai sokongan AC Power On dan HDMI Power On, yang akan membuka projektor secara automatik apabila mendapat kuasa ataupun apabila membuka konsol mahupun PC.

Bagi pencahayaan di dalam bilik atau ruangan projektor pula, ia berfungsi dengan terbaik apabila di dalam bilik yang gelap, terutama apabila menggunakan fungsi HDR, akan tetapi saya bukan yang suka bermain di dalam gelap, oleh itu ada masa saya membuka sahaja lampu dan ia masih lagi boleh dimainkan dengan tanpa sebarang masalah.

Satu masalah yang saya merasakan agar menjengkelkan adalah, setiap kali saya menutup permainan ataupun menukar akaun di PlayStation 5 dan juga Xbox Series, projektor akan tidak memaparkan apa-apa buat seketika dan bagaikan sedang mencari input baharu. Ia bukanlah masalah besar, tetapi agar mengganggu pengalaman menggunakannya.

Speaker yang terbina adalah nilai tambah untuk projektor ini, ia bukanlah yang terbaik tetapi ia lebih baik jika ingin dibandingkan dengan speaker-speaker yang terbina di dalam kebanyakan monitor. Bagi sesi menonton filem ataupun siri TV, anda mungkin ingin memasang speaker tambahan akan tetapi semasa saya bermain permainan seperti FIFA ataupun MLB The Show, yang tidak sangat mementingkan bunyi, speaker projektor ini sudah mencukupi.

Projektor ini diiklankan boleh digunakan untuk jangka masa yang lama, termasuk juga 24 jam, 7 hari seminggu, namun saya tidak pernah mencuba sekerap itu, paling lama saya pernah gunakan adalah lebih kurang 5 hingga 6 jam secara berterusan dan ia masih lagi boleh digunakan dengan baik dan tidak terasa terlalu panas.

Kesimpulan

Predator GD711 adalah satu projektor yang bersesuaiannya untuk dipanggil sebagai “projektor gaming”, dengan sokongan resolusi dan kadar segar semula yang tinggi, ditambah lagi dengan sokongan VRR menjadikan ia paparan yang boleh menjadi alternatif yang baik berbanding monitor, bahkan lagi TV. Namun dengan penggunaan HDMI 2.1 ia tidaklah future-proof seperti yang sepatutnya, terutama dengan harga projektor ini ditawarkan.

Jika anda sedang mencari projektor yang bukan sahaja untuk kegunaan menonton filem atau siri TV tetapi juga untuk bermain permainan video, GD711 sudah semestinya adalah satu pilihan yang baik, akan tetapi dengan harga RM4999, saya lebih berharap dan rasa lebih senang jika ia mempunyai teknologi terkini seperti HDMI 2.1 yang akan menjadi lebih penting untuk generasi permainan video yang terkini.

Penafian: Predator GD711 disediakan oleh Acer Malaysia untuk tujuan ulasan ini.

Sohor Kini