Valve telah mengumumkan yang tiket untuk kejohanan Dota 2 The International yang berlangsung di Singapura akan mula dijual pada 13 Ogos. Ia akan dibahagikan kepada dua peringkat iaitu Peringkat Playoff dan juga Peringkat Akhir.

Peringkat Playoff akan berlangsung bermula pada 20 Oktober sehingga 23 Oktober melibatkan 16 pasukan daripada peringkat kumpulan yang berlangsung secara tertutup pada 15 Oktober sehingga 18 Oktober 2022. Tiket untuk Peringkat Playoff ditawarkan dengan harga S$88 (~RM284) sehari.

Manakala Peringkat Akhir akan berlangsung pada 29 – 30 Oktober 2022, dan melibatkan 4 pasukan terbaik dari Peringkat Playoff. Harga tiket untuk peringkat ini adalah S$498 (~RM1609) untuk kedua-dua hari.

Penjualan tiket akan bermula pada 10 pagi, 13 Ogos ini dengan setiap pembeli dihadkan kepada lima tiket sahaja untuk setiap tarikh. Bagi yang menetap di Singapura, tiket boleh dihantar ke rumah ataupun dipungut, manakala bagi pembeli luar Singapura, perlu memungutnya sendiri.

Buat masa ini hanya empat pasukan sahaja yang telah layak ke The International iaitu Thunder Awaken, PSG.LGD, TSM dan OG selaku empat pasukan terbaik untuk Dota Pro Circuit sepanjang tahun 2021-2022.

Sohor Kini