Ulasan Carter – 1 Adegan, 2 Jam, 1001 Aksi

Apabila bercakap mengenai industri filem dan televisyen Korea, genre yang popular dan sering diperkatakan termasuklah percintaan, politik, komentari sosial dan juga drama zaman dahulukala. Dengan filem Carter, industri perfileman Korea Selatan mahu menunjukkan bahawa mereka juga bersedia untuk memasuki arena filem aksi ala Hollywood.

Filem ini diarahkan oleh Jung Byung-gil, yang sebelum ini telah mengarah filem-filem aksi seperti Confession of Murder dan The Villainess dan dibintangi Joo Won yang memainkan watak Carter Lee, iaitu watak utama filem ini.

Berbeza dengan banyak filem aksi sebelum ini, tidak kira dari Korea Selatan, Hollywood ataupun Bollywood, tarikan utama filem ini ialah ia merupakan sebuah filem satu adegan tanpa sebarang potongan dari mula sehingga tamat filem ini.

Ya, ini bermakna bahawa dari permulaan sehinggalah penamatnya, penonton akan menonton adegan-adegan filem ini secara berterusan tanpa henti. Apa yang lebih menarik lagi ialah filem ini dipenuhi dengan pelbagai aksi yang gerun dan mendebarkan, dan gabungan rakaman menggunakan dron dan kamera filem tradisional yang “tiada potongan” ini pastinya akan menarik minat ramai penggemar filem-filem aksi.

Penceritaan

Sebagai sebuah filem yang lebih memfokuskan kepada kualiti adegan-adegan aksi dan juga kerja kamera, penceritaan filem Carter ini hadir dengan jalan cerita yang tidak begitu rumit. Untuk rumusan latar penceritaan yang ringkas, Korea Utara dan Korea Selatan dilihat sedang menangani wabak virus yang menyebabkan penghidapnya untuk menjadi zombi selepas 13 hari dijangkiti.

Carter Lee, watak utama filem ini harus mencari anak perempuan seorang saintis Korea Utara untuk mendapatkan penawar kepada virus tersebut, disamping mencari penyelesaian kepada isu mengapa dia tidak mempunyai sebarang ingatan tentang masa silamnya.

Berbekalkan kepakaran seorang askar elit dan alat pendengaran yang ditanam didalam telinganya, dia harus menjalankan tugas menyelamatkan kanak-kanak tersebut dan menghantarnya kembali ke bapanya, atau menghadapi risiko dibunuh oleh bom yang ditanam didalam giginya.

Aksi

Jika anda seorang peminat filem aksi, saya boleh katakan bahawa anda tidak akan bosan menonton filem ini dari adegan pembukaan sehinggalah penghujungnya. Dalam lima minit pertama sahaja, anda akan dapat lihat Carter bertarung dengan bukan sahaja pihak CIA yang mengelilinginya, tetapi juga pihak yakuza dalam adegan pertarungan seorang menentang berpuluh-puluh orang didalam sebuah kolam mandi awam.

Variasi adegan-adegan aksi didalam filem Carter ini juga dipelbagaikan oleh Jung Byung-gil. Ini termasuklah adegan pertarungan besar-besaran yang dikatakan tadi, aksi kejar-mengejar menggunakan pelbagai kenderaan automotif, adegan menyelinap masuk kedalam markas musuh, dan sebagainya.

Filem ini mempunyai masa tayangan sekitar 2 jam 14 minit, dan boleh saya katakan hampir dua jam tersebut dipenuhi dengan aksi yang mendebarkan. Malah, terdapat beberapa adegan kejar mengejar mengingatkan saya sedikit tentang adegan-adegan aksi yang biasa dapat dilihat dalam filem-filem Tamil dan Bollywood, dan untuk adegan-adegan ini, saya hanya tergelak sahaja menontonnya.

Dalam sebuah temu-ramah untuk filem ini, Joo Won telah mengatakan bahawa sejumlah besar daripada adegan-adegan aksi didalam filem ini dilakukan olehnya sendiri, dan hanya sejumlah kecil, khususnya situasi-situasi yang akan benar-benar membahayakan nyawanya dimainkan oleh pelagak ngeri.

Situasi-situasi ini juga membuatkan sesetengah adegan ini sukar untuk difilemkan kerana sebarang kesilapan yang dilakukan oleh mana-mana pelakon akan menyebabkan seluruh adegan perlu dirakam semula dari permulaan babak.

Kepelbagaian jenis aksi filem ini boleh dilihat sebagai sesuatu yang sangat positif dalam filem ini, tetapi kadang-kala saya rasakan bahawa terlalu banyak idea yang cuba diketengahkan oleh pengarah menyebabkan filem ini rasa sedikit janggal.

Terdapat adegan kejar-mengejar dimana kenderaan darat “terbang” di udara seperti adegan filem Hindustan, dimana di satu lagi babak, letupan besar berlaku seperti dalam filem Michael Bay dan juga adegan kejar-mengejar zombi. Ini bukanlah sesuatu yang negatif, tetapi apabila saya melihat babak-babak ini, saya akan ketawa kecil mengingati stereotaip-stereotaip ini.

Suntingan Dan Sutradara

Seperti yang dikatakan sebelum ini, diantara aspek yang membuatkan Carter sebuah filem yang unik ialah idea pengarah Jung Byung-gil untuk membikin sebuah filem tanpa sebarang potongan kamera dari mula hingga tamat.

Teknik rakaman yang dilakukan beliau dilihat agak genius, dimana rakaman-rakaman dron digabungkan dengan rakaman kamera video dan disunting untuk menjadikan filem ini mempunyai peralihan yang berterusan dan lancar dan kelihatan seperti ia tidak mempunyai sebarang potongan.

Pada tontonan pertama, bagi saya ini memberikan sebuah nafas baru kepada filem-filem seperti ini, kerana ia dilihat seperti filem ini dirakam sekaligus tanpa henti. Jika anda pernah menonton filem 24, penceritaannya boleh dilihat lebih kurang sama, cuma tanpa sebarang potongan dilakukan dari babak ke babak.

Diantara kritikan yang mungkin saya boleh berikan tentang suntingan filem ini ialah adegan-adegan yang dilihat menggunakan CGI agak nyata sekali penggunaannya, menjadikan beberapa adegan aksi kelihatan sedikit janggal.

Dalam pada itu, pertukaran babak-ke-babak juga kadangkala memperlihatkan peralihan yang tidak begitu kemas, kemungkinan dari dron-ke-dron ataupun dari dron-ke-kamera dan sebaliknya. Suntingan pasca-produksi dilihat membantu dalam membolehkan filem ini dilihat seperti keseluruhan filem ini benar-benar berlaku dalam masa 2 jam waktu tayangannya.

Penutup

Jika anda seorang peminat filem ataupun siri penuh aksi, ataupun seorang peminat K-drama yang mahukan sesuatu yang berbeza dengan apa yang ditawarkan di Netflix, saya mengesyorkan anda menonton Carter untuk pengalaman tontonan yang agak unik.

Gabungan aksi yang mendebarkan bersama-sama dengan olahan rakaman kamera yang unik disamping suntingan one-take pada pendapat saya akan membawakan anda satu pengalaman tontonan yang cukup mendebarkan sekali.

Carter
Siaran bermula 5 Ogos 2022
Carter ialah percubaan baik untuk membangunkan sebuah filem aksi dengan keunikannya tersendiri
Positif
Aksi hebat
Gabungan rakaman dron dan kamera yang mengagumkan
Idea filem satu babak yang unik
Negatif
Penceritaan biasa sahaja
Peralihan adegan yang tidak begitu bersih
Percubaan memuatkan stereotaip filem aksi yang terlalu banyak
7

Sohor Kini