Warner Bros. Discovery sekarang dalam misi membatalkan banyak projek siri TV, animasi dan filem yang akan menelan kos yang tinggi kerana ingin mencari jalan untuk jimat bajet sehingga $3 bilion. Strategi kandungan pengeluaran kandungan mereka juga telah berubah, di mana tiada lagi bajet besar untuk HBO Max kerana bajet besar adalah untuk filem di pawagam sahaja.
Sekuel filem animasi Scoob! telah dibatalkan, filem Batgirl juga sama di mana kedua-dua filem ini sudah pun di fasa akhir pasca-produksi. Turut kedengaran yang filem solo Supergirl lakonan Sasha Calle yang akan muncul dalam filem The Flash turut tidak akan diteruskan.
Bercakap lagi mengenai The Flash, filem ini juga pada awalnya ramai sangkakan akan ada masalah dibatalkan. Bukan kerana masalah bajet, tetapi pelakon utama filem ini iaitu Ezra Miller yang bermasalah dan telah melakukan banyak jenayah.
Tetapi nampaknya, Barbara Muschietti antara pencipta filem The Flash ini menyatakan filem beliau selamat dan akan diteruskan. Tayangan filem ini masih berada dalam jadual, iaitu pada 23 Jun 2023.