Di pawagam TGV Cinemas, mereka menawarkan baucar filem seperti Movie Pass, IMAX Pass, Beanie Pass, Indulge Pass, Super Movie Pass dan Mega Movie Pass. Tetapi sempena menyambut kehadiran filem-filem Marvel pada tahun ini, mereka turut menawarkan baucar Marvel Movie Pass untuk tebus lima tiket filem Marvel sepanjang tahun 2022.

Baucar ini dipromosikan ketika filem Doctor Strange: Multiverse of Madness, yang mana membolehkan pembeli menggunakan baucar ini untuk tebus tiket filem tersebut. Kemudian boleh gunakan juga untuk filem Thor: Love and Thunder dan Black Panther: Wakanda Forever.

Tetapi dengan nasib filem Marvel Studios di Malaysia yang tidak menentu, seperti filem Thor: Love and Thunder yang dibatalkan tayangannya di Malaysia – pembeli baucar ini mulai rasa kerugian. Terkini, TGV mengumumkan yang Marvel Movie Pass boleh digunakan untuk tebus apa jua filem sepanjang tahun bermula 4 Ogos 2022 nanti.

Dengan kata lain, Marvel Movie Pass yang dijual pada harga RM90 untuk lima tiket telah berubah menjadi Super Movie Pass (jumlah tiket dan harga yang sama). Jadi kelak anda boleh gunakan baucar Marvel ini untuk tiket filem seperti Super Pets, akan datang Bullet Train atau Avatar 2 dan jika bernasib baik filem Black Panther 2.

Sohor Kini