Kementerian Komunikasi dan Informatika Indonesia telah mengumumkan yang setiap laman yang menyediakan perkhidmatan di dalam talian perlu mendaftar dengan mereka untuk menyediakan perkhidmatan di negara tersebut.

Gagal melakukannya akan menyebabkan laman tersebut akan dihalang. Arahan ini sudah mula dikuatkuasakan dan beberapa laman yang gagal mendaftar telah mula dihalang termasuk juga laman-laman permainan video.

Menurut laman Kominfo’d, laman yang menyatakan protest mereka terhadap arahan ini, telah berkongsi laman-laman yang sudah dihalang. Antaranya adalah Epic Games dan Steam dua gedung permainan video utama untuk PC.

Selain itu, laman-laman seperti EA, Ubisoft, dan Nintendo buat masa ini masih tidak dihalang akan tetapi mereka masih belum melakukan pendaftaran. Manakala laman seperti Disney+ Hotstar, Mobile Legends, Roblox sudah mendaftar dan tidak akan mengalami masalah untuk diakses.

Kerajaan Indonesia sebelum ini mengatakan yang arahan ini adalah untuk memastikan data-data pengguna terpelihara dan perkhidmatan yang disediakan dilakukan dengan acara yang sihat dan produktif.

Berdasarkan laporan oleh Reuters, antara sebab utama pendaftaran ini diperlukan adalah mengikut akta yang diperkenalkan sejak November, 2020, sebarang laman dalam talian di Indonesia perlu membuang kandungan-kandungan yang dikatakan melanggar undang-undang ataupun mengancam ketenteraman awan secara segera ataupun dalam masa 24 jam. Laman-laman ini juga perlu memberikan data komunikasi dan peribadi apabila di minat oleh penguatkuasa undang-undang ataupun kerajaan.

Sohor Kini