Sony hari ini telah berkongsi prestasi kewangan mereka untuk suku pertama bagi tahun fiskal 2022-2023 iaitu bermula pada bulan April sehingga Jun lepas. Seperti biasa mereka juga berkongsi mengenai prestasi PlayStation.

Sepanjang tiga bulan tersebut, PlayStation 5 telah terjual sebanyak 2.4 juta unit, iaitu 100 ribu unit lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun fiskal yang lepas. Dengan jumlah ini, jumlah keseluruhan PlayStation 5 terjual setakat ini adalah 21.7 juta unit.

Berbeza dengan suku-suku sebelum ini, Sony tidak lagi berkongsi jumlah PlayStation 4 terjual dengan pada suku lepas ia hanya terjual sebanyak 100 ribu unit dan jumlah keseluruhan 118.7 juta unit.

Manakala bagi penjualan permainan pula, suku ini memperlihatkan pengurangan yang sangat mendadak iaitu 47.1 juta unit sahaja berbanding 70.5 juta unit pada suku lepas dan 63.6 juta unit untuk tempoh yang sama pada tahun lepas. Daripada 47.1 juta unit, 6.4 juta unit adalah permainan oleh PlayStation Studios. Manakala ratio untuk permainan digital berbanding fizikal pula adalah 79% iaitu antara yang tertinggi.

Pengurangan jumlah jualan dan juga penambahan untuk ratio permainan digital ini, mungkin disebabkan kurangnya permainan mercu yang dilancarkan sepanjang tiga bulan tersebut.

Bagi pelanggan PlayStation Plus, walaupun dengan pelancaran pakej langganan baharu untuk PlayStation Plus akan tetapi ia tidak memperlihatkan peningkatan untuk jumlah langgan, sebaliknya berkurangan sebanyak 100 ribu berbanding suku lepas, akan tetapi 1 juta lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

Namun, di pasaran-pasaran besar seperti Amerika Syarikat dan Eropah, pakej langganan baharu ini baru sahaja dilancarkan pada bulan Jun lepas, oleh itu mungkin di laporan suku depan, kesan pakej langganan baharu ini akan lebih diperlihatkan.

Bagi pemain aktif bulanan pula, ia mencatat 102 juta untuk suku ini, iaitu 400 ribu lebih rendah berbanding suku lepas dan 300 ribu lebih rendah berbanding suku yang sama pada tahun lepas.

Sohor Kini