Guillermo del Toro bakal hadir dengan filem animasi Pinochhio di Netflix pada bukan Disember akan datang. Ia adalah satu filem animasi gerak henti (stop motion) dengan penceritaan Pinocchio olahan Guillermo del Toro sendiri yang berbeza dengan kisah asal.

Treler pertama sudah pun dikongsi pada Januari lalu dan Guillermo Del Toro turut berkongsi kisah di sebalik pembangunan filem animasi gerak henti ini pada bulan lepas.

Netflix baru-baru ini hadir dengan treler baharu yang anda boleh tonton di bawah;

Dalam treler, kedengaran Sebastian J. Cricket lakonan suara Ewan McGregor menceritakan kisah Pinocchio lakonan suara Gregory Mann. Ia akan memperlihatkan versi Pinocchio yang lebih dekat dengan dunia sebenar dan mempunyai sifat seakan seorang yang dungu, ceria dan bersifat ingin belajar. Filem ini berlaku di Itali di antara perang dunia pertama dan kedua, dan selepas Pinocchio “hidup” Geppetto lakonan suara David Bradley dilihat sukar untuk menerima “anaknya” ini kerana tidak sama dengan anak sebenar beliau yang mana Pinocchio diukir dari pokok yang tumbuh pada kubur anak beliau.

Treler filem ini memperlihatkan satu penceritaan yang menarik dan penuh dengan pengembaraan. Apa yang unik nanti adalah watak penjahat berbeza dengan asal, di mana musang, kucing dan dalang (puppeteer) digabungkan menjadi satu watak iaitu Count Volpe lakonan suara Christoph Waltz.

Nampak gayanya ada kemungkinan iterasi filem ini akan mempunyai cerita lebih menarik berbanding filem aksi nyata Pinocchio lakonan Tom Hanks oleh Disney nanti. Sama-sama kita nantikan dan lihat olahan mana yang lebih baik.

Sohor Kini