Dengan lambakan filem-filem adiwira tidak kira dari Marvel ataupun dari DC, mungkin ramai seperti saya yang mahukan kelainan dari semasa ke semasa, sesuatu yang saya dapat dari The Batman, dan mengharapkan sesuatu yang sama dari DC League of Super-Pets. Namun, sudah semestinya DC League of Super-Pets tidak boleh membawa pengalaman yang sama dengan The Batman, kerana ini lebih kepada filem kanak-kanak, walaupun begitu ia masih lagi berjaya untuk membawa pengalaman baharu akan tetapi dikekang oleh satu pengalaman yang saya sudah sedikit jemu.
DC League of Super-Pets seperti judulnya, ataupun jika anda sudah tonton treler untuknya, adalah filem adiwira DC terutamanya Justice League yang banyak membuat penampilan di dalam filem ini, iaitu Superman, Batman, Wonder Woman, Green Lantern, Aquaman, The Flash, dan Cyborg, akan tetapi fokus utama adalah haiwan-haiwan peliharaan. Pada awalnya hanya Krypto iaitu anjing peliharaan Superman mempunyai kuasa akan tetapi batu kryptonite kuning telah memberikan pelbagai kuasa kepada haiwan-haiwan di rumah peliharaan.
Antara yang mendapat kuasa tersebut adalah Lulu iaitu seekor tikus belanda yang juga merupakan tikus makmal Lex Luthor yang mempunyai sindrom stockholm dan ingin membuktikan dia boleh membantu Lex Luthor untuk menghapuskan pasukan Justice League. Perancangan Lulu berjaya apabila dia dapat menculik kesemua anggota Justice League dan pada masa sama telah membuatkan Krypto hilang kuasa. Tidak mempunyai kuasa, Krypto terpaksa meminta bantuan daripada haiwan-haiwan peliharaan lain yang turut mendapat kuasa iaitu Ace seekor anjing, PB seekor khinzir, Metron seekor kura-kura dan Chip seekor tupai merah. Bersama dengan Krypto mereka mula cuba untuk menyelamatkan Justice League dan juga belajar untuk menjadi seekor adiwira.
Secara keseluruhannya, saya menyukai penceritaan dan juga penyampaian yang dilakukan di dalam filem DC League of Super-pets ini, ia mempunyai banyak momen yang mencuit hati dan juga memberi emosi kepada saya. Walaupun, kebanyakan dari kaca mata binatang peliharaan, akan tetapi filem ini berjaya membuatnya relatable. Ia menyentuh mengenai perhubungan haiwan peliharaan dengan pemilik, perasaan apabila haiwan peliharaan di salah erti, selain itu melalui pelbagai watak yang setiap-nya mempunyai “kekurangan” tersendiri memberi lebih nilai dan juga lapisan perwatakan yang baik kepada penceritaan ini.
Filem ini juga mempunyai animasi yang berkualiti, terutama semasa melakukan pertempuran, yang sentiasa mengingatkan saya ini adalah filem adiwira walaupun di depan adalah seekor anjing. Pertempuran, terutama di bahagian akhir dilakukan dengan jelas dengan pelbagai kesan letupan dan juga pertempuran menjadikan ia satu filem aksi yang baik. Walaupun secara amnya, kebanyakan pertempuran adalah ringkas akan tetapi ia tidak kurang seronok untuk ditonton, terutama seperti saya katakan di atas kualiti animasi yang harus dipuji.
Adiwira-adiwira biasa, iaitu Justice League juga diberikan ruang yang mencukupi untuk turut terlibat di dalam penceritaan ini, dan bukan sekadar menjadi watak-watak di belakang sahaja. Mereka juga mempunyai perwatakan tersendiri dan di dalam penampilan yang terhad, ia mempunyai personaliti yang kaya dan terasa berlainan dengan adiwira-adiwira biasa, walaupun ada masa ia terasa seperti satu parodi.
Lakonan suara juga dilakukan dengan baik di kebanyakan bahagian, akan tetapi kekurangan di dua watak utama yang serba sedikit mengganggu pengalaman saya menonton filem ini. Sebelum saya ceritakan mengenai kekurangan, saya ingin terlebih dahulu memuji lakonan suara untuk kebanyakan watak tidak kira manusia ataupun haiwan peliharaan sendiri. John Krasinksi sebagai Superman dan Keanu Reeves sebagai Batman berjaya menjadi watak itu adalah watak mereka sendiri. Kate McKinnon sebagai Lulu, Vanessa Bayer sebagai PB, Natasha Lyonne sebagai Merton, Diego Luna sebagai Chip membawa watak-watak mereka dengan baik.
Kekurangan utama bagi saya adalah dua watak utama bagi filem ini iaitu Krypto lakonan Dwayne Johnson dan juga Ace sebagai Kevin Hart. Saya merasakan dinamik di antara mereka berdua sudah terlalu kerap digunakan, ia kurang memberi impak di dalam filem ini. Lakonan suara mereka adalah baik sahaja, ia berjaya menyampaikan emosi dengan baik akan tetapi saya tidak boleh menghilangkan dari fikiran yang The Rock dan Kevin Hart sedang bercakap berbanding dua ekor anjing. Ini memberi sedikit masalah kepada pengalaman saya menonton. Namun, saya merasakan, jika ini bukan masalah untuk penonton, ia akan menjadikan filem ini lebih baik.
Bercakap mengenai lakonan suara, pelakon dari Malaysia iaitu Sean Lee seperti diumumkan sebelum ini, turut menyumbangkan suara untuk salah satu watak di dalam filem ini. Walaupun, ia adalah satu bahagian yang kecil sahaja akan tetapi dapat mendengar loghat tempatan termasuk juga Bahasa Malaysia digunakan di dalam filem antarabangsa, ia boleh dikatakan perkara yang membangkan.
Akhir kata, DC League of Super-Pets adalah satu filem yang seronok untuk ditonton, terutama bagi kanak-kanak kerana ia mempunyai banyak adegan mencuit hati, namun pada masa yang sama turut boleh menjadi relatable bagi orang dewasa terutama apabila melihat kepada perhubungan di antara haiwan peliharaan dan pemilik. Ia dibantu lagi dengan animasi yang baik terutama bahagian-bahagian aksi yang mendebarkan dan dilakukan dengan sangat berkualiti. Filem ini juga melakukan satu kerja yang baik untuk memfokuskan kepada haiwan peliharaan akan tetapi pada masa sama memberi ruang untuk adiwira Justice League mempunyai penampilan tersendiri.
Kekurangan utama filem ini adalah gandingan di antara Dwayne Johnson dan Kevin Hart yang walaupun mereka terbukti-nya sudah mempunyai dinamik yang baik tetapi apabila ia dilakukan melalui lakonan suara, ia gagal memberi personaliti kepada watak Krypto dan juga Ace, sebaliknya saya sekadar mendengar mereka berdua sahaja berbanding dua ekor anjing tersebut.