The Last of Us merupakan dan masih lagi adalah permainan terbaik yang saya secara peribadi pernah main. Apabila Naughty Dog dan PlayStation Studios mengumumkan yang mereka akan hadir dengan versi olahan semula untuknya iaitu The Last of Us Part I, ia sudah semestinya satu perkara yang sangat menarik.

Namun, setelah harga untuk The Last of Us Part I ini diumumkan, iaitu RM299 di PlayStation 5 ramai yang mengatakan harga penuh untuk permainan keluaran semula adalah mahal. Menjawab perkara itu, Naughty Dog mengatakan yang The Last of Us Part I menyertakan pelbagai penambah-baikkan yang akan menjadikan harga tersebut berbaloi.

Terkini, mereka berkongsi pula video “The Last of Us Part I Rebuilt for PS5” yang memperlihatkan secara lanjut segala penambah-baikkan yang disertakan. Anda boleh tonton video tersebut di bawah.

Mereka mengatakan yang selain membolehkan ia dimainkan dengan resolusi 4K 30FPS ataupun Dinamik 4K 60FPS, serta menyokong fungsi-fungsi di DualSense dan juga 3D Audio, The Last of Us Part I juga akan menyertakan arahan seni yang berbeza dengan permainan asal untuk menjadikan ia lebih mendalam dan realistik.

Pemain dikatakan dapat melihat persekitaran yang lebih baik, seperti bahagian-bahagian dinding akan pecah dengan realistik apabila ditembak dan memperlihatkan lebih kerosakan. Selain itu, AI juga akan menjadi lebih baik termasuk juga rakan yang tidak lagi bergerak ke kawasan yang membuatkan penjahat melihatnya.

Dari segi mod permainan, permadeath dan juga mod yang memfokuskan akan disertakan bersama dengan lebih 60 tetapan kebolehcapaian. Pemain juga kini boleh menukar pakaian untuk Joel dan Ellie.

The Last of Us Part I akan dikeluarkan pada 2 September 2022 untuk PlayStation 5. Ia juga diumumkan untuk PC.

Sohor Kini