Semalam, sistem atas talian GSC tergendala termasuk pada aplikasi mereka. Menurut GSC, mereka sedang mengemaskini untuk menawarkan sesuatu yang istimewa kepada pelanggan mereka semua.

Hari ini, aplikasi GSC dan nweb mereka sudah kembali beroperasi seperti biasa. Untuk aplikasi Android dan iOS, kini terdapat kemaskini yang menyertakan sistem ganjaran GSC Rewards.

Selepas sekian lama, hanya TGV dan MBO sahaja menawarkan sistem ganjaran – GSC akhirnya menyertai trend memberi ganjaran kepada pengguna setia. GSC sebelum ini hanya memberi ganjaran kepada pengguna kad kredit terpilih.

GSC Rewards dilihat memberi GSCoins untuk setiap pembelian. Dengan RM1, pelanggan akan menerima 5 GSCoins. Dengan GSCoins ini, pelanggan boleh menebus tiket wayang atau makanan dan minuman. 2000 GSCoins boleh tebus tiket wayang dan mencapai sehingga 16000 GSCoins untuk tiket Getha Lux Suite. Untuk makanan dan minuman 300-1000 GSCoins boleh digunakan untuk tebus baucar RM3 hingga RM10.

Sistem ganjaran ini sudah boleh digunakan bermula hari ini. Saya agak kecewa dengan ganjaran ini, kerana RM1 untuk 5GSCoins adalah sedikit dan untuk dapatkan 1 tiket sebanyak RM400 perlu dibelanjakan. Jika dibandingkan dengan TGV MovieClub, mereka memberi MovieMoney. Lebih kurang sama, RM1 akan dapat 5 MovieMoney, tetapi TGV menawarkan lebih banyak ganjaran untuk ditebus dan hanya perlu belanja sekitar RM300 untuk dapatkan 1 tiket percuma. TGV juga ada ganjaran hari jadi dan boleh dapatkan 2x MovieMoney untuk hari istimewa.

Sohor Kini