Platform penstriman video Prime Video juga adalah antara platform yang menarik untuk dilanggan. Ia menawarkan banyak kandungan yang seronok, ada yang ambil dari studio lain dan banyak juga kandungan asli yang eksklusif. Antara kegemaran aku adalah The Boys dan Upload. Kepada mereka yang berminat dengan Hindustan dan Tamil, platform ini turut menawarkan banyak kandungan berkaitan.

Keunikan Prime Video turut terletak pada ciri X-Ray yang boleh menyenaraikan nama pelakon dan biografi ketika video dijeda. Ciri ini hanya akan menyenaraikan pelakon yang ada dalam adegan saat ia dijeda, menarik bukan? Tetapi ia ada masalah lain yang membuatkan aku kadang-kadang jarang buka platform ini adalah, rekaan antaramuka yang sedikit serabut dan sukar untuk mencari kandungan.

Kini selepas sekian lama menunggu, Amazon mula mengemaskini antaramuka Prime Video dengan perubahan yang amat drastik. Perubahan ini hanya berlaku untuk platform TV seperti Android TV, Google TV, Apple TV, konsol permainan dan lain-lain. Ia kini mempunyai rekaan mirip Netflix dengan mempunyai bar sisi yang ada bahagian khas, barisan carta kandungan 10 terbaik, dan banyak lagi integrasi yang menarik.

Di bar sisi, Prime Video dipecahkan kepada enam bahagian iaitu Search, Home, Store, Live TV, Free dan My Stuff. Ini mungkin akan berubah mengikut negara, kerana tidak semua dapat diakses seperti di Malaysia Prime Video tidak menyokong TV siaran langsung, gedung beli/sewa video dan akses percuma.

Rekaan yang lebih mesra pengguna ini membuatkan Prime Video lebih selari dengan platform pesaing. Kini hanya tinggal Apple TV+ sahaja untuk mengemaskini rekaan antaramuka agar ia lebih mesra pengguna dan lebih mudah digunakan. Rekaan ini juga hanya diedarkan secara berperingkat kepada negara seperti Amerika dan masih belum hadir untuk pengguna di Malaysia.

Sohor Kini