Filem aksi nyata Resident Evil yang dikenali ramai adalah versi yang dilakonkan oleh Milla Jovovich. Ia mempunyai enam filem secara keseluruhan dan merupakan satu filem yang sukar diterima oleh orang ramai, lebih-lebih lagi peminat Resident Evil. Ini kerana, filem ini adalah satu filem asli dan tersendiri dan tidak mengambil penceritaan daripada permainan video. Walaupun ada beberapa watak yang menggunakan nama sama, ia masih tidak berada dalam dunia permainan video seperti filem animasi.

Selepas lima tahun daripada filem terakhir, iaitu Resident Evil: The Final Chapter (2016) – Resident Evil cuba diolah semula pada tahun 2021 dengan filem Resident Evil: Welcome to Raccoon City. Filem ini adalah yang pertama bentuk aksi nyata yang cuba mengikut penceritaan permainan video yang diolah berdasarkan Resident Evil 1 dan 2, namun masih tidak menjadi.

Kini daripada studio yang sama iaitu Constantin dan bekerjasama dengan Netflix, mereka hadir dengan siri TV baharu dengan judul Resident Evil. Siri TV ini juga cuba meneruskan penceritaan daripada permainan video, yang mana Resident Evil 5 dipilih sebagai inspirasi dan kisah Albert Wesker adalah titik fokus. Persoalannya bagaimanakah Albert Wesker masih hidup, sedangkan dalam permainan 2009 itu beliau sudah mati?


Olahan Permainan Video?

Mesti ramai tertanya, kalau siri TV ini mengikut penceritaan daripada Resident Evil 5 dan dalam permainan itu Albert Wesker lakonan Lance Reddick sudah mati – macam mana beliau masih boleh hidup dalam ini? Aku tidak akan dedahkan banyak mengenai bagaimana, kerana ingin anda nikmati dan alami dengan menonton sendiri siri TV ini. Tetapi ia berkait dengan teknologi dan eksperimen yang kerap kita tahu boleh dilakukan oleh Umbrella Corporation.

Kisah 2022

Resident Evil di Netflix ini berlaku pada dua garis masa, iaitu pada tahun 2022 di bandar New Raccoon City dan juga pada tahun 2036 selepas bencana virus berlaku yang mengubah manusia dan makhluk hidup lain menjadi zombi dan ada juga yang sudah mengalami proses evolusi menjadi makhluk ganas yang mengerikan.

Kisah utama adalah pada anak-anak Albert Wesker iaitu Jade Wesker lakonan Tamara Smart (versi muda di 2022) dan lakonan Ella Balinska (versi dewasa di 2036) serta Billie Wesker lakonan Siena Agudong (2022) dan Adeline Rudolph (2036). Siri TV ini cuba melakukan konsep penceritaan yang bergilir, kejap 2022 dan kejap berubah ke 2036.

Kisah di 2022 adalah di mana dunia baru dilanda pandemik Covid-19 dan setiap watak sedar akan kewujudan virus ini. Jade dan Billie baru sahaja berpindah ke kuarters tempat tinggal Umbrella baharu bersama Albert yang sedang mengusahakan pil anti-depresi yang diberi nama Joy. Pil ini dibangunkan berasaskan T-Virus, virus yang terkenal dalam francais Resident Evil. Jade dan Billie turut menjadi subjek eksperimen Albert bagi memastikan beliau sentiasa sihat. Atas eksperimen ini, Billie mempunyai kesan sampingan yang mungkin memberi nasib malang pada keluarga Wesker.

Albert bekerjasama dengan Evelyn Marcus iaitu CEO baharu Umbrella lakonan Paola Núñez. Evelyn adalah seorang majikan yang zalim dan hanya pentingkan kekayaan bagi membina empayar Umbrela dan tidak mempunyai rasa belas kasihan terhadap apa yang akan berlaku.

Penceritaan pada tahun 2022 ini kelihatan menarik, kerana ingin melihat perkembangan watak dan pembinaan dunia Umbrella baharu selepas tragedi yang berlaku di masa silam. Namun, penulisan skrip yang amat cringe membuatkan aku ketawa kerana ia lemah dan tidak mempunyai isi yang menarik untuk aku terus tonton. Tetapi atas minat Resident Evil, aku paksa diri untuk tahan dan saksikan apa yang berlaku. Pada aku, kisah di tahun 2022 banyak detik yang menjengkelkan dengan prestasi lakonan yang tidak begitu hebat serta bersemangat – lebih-lebih lagi pada watak Evelyn yang terlampau tipikal.

Walau bagaimanapun, penceritaan yang menarik pada tahun 2022 dalam siri TV ini adalah untuk Albert Wesker. Prestasi lakonan Lance Reddick yang sangat mantap, membuatkan aku berharap siri ini mempunyai masa hadapan. Kisah Albert disampaikan dengan baik, mempunyai satu tarikan unik yang tidak pernah aku tonton dalam mana-mana projek aksi nyata Resident Evil. Ia adalah satu fan service untuk pengikut permainan video Resident Evil yang sukakan watak ini. Aku minat dengan watak ini sejak permainan Resident Evil 4.

Apa yang aku tidak suka pada penceritaan 2022 adalah, ia banyak tergantung dan tidak disampaikan dengan baik dan hanya mencampak banyak easter egg untuk cuba memuaskan hati peminat. Sudahlah banyak yang tergantung, apabila tiba ke tahun 2036 ia masih tidak mendedahkan apa-apa dan hanya mencampak lagi dan lagi easter egg dengan mengharapkan akan dijelaskan dalam musim kedua jika siri TV ini berjaya.

Kisah 2036

Penceritaan pada garis masa 2036, juga dilihat ada potensi untuk menjadi menarik. Pada garis masa inilah, bermulanya aksi zombi yang dahsyat, pelbagai makhluk yang sudah berubah menjadi raksasa dan zombi mengerikan, ada puak-puak manusia dalam kumpulan masing-masing yang cuba meneruskan kehidupan serta ada pasukan penyelamat dengan pendirian tersendiri. Sayang sekali, garis masa 2036 ini hanya memberi fokus kepada watak Jade yang cuba merungkai misteri yang melibatkan Billie.

Dalam tahun 2036 ini cerita juga bercelaru dan serabut, kerana banyak perkara ingin dicapai dalam satu masa singkat. Misi sebenar juga tidak begitu jelas, seperti apa yang Jade mahukan sebenarnya dan apa yang membuatkan beliau benar-benar benci dengan Billie juga tidak begitu menarik walaupun ada sedikit penjelasan. Kisah dalam garis masa ini juga tidak menggunakan watak yang ada potensi dengan sebaiknya.

Jarak masa antara 2022 dan 2036 adalah 14 tahun. Tetapi banyak plot hole berlaku yang tidak diceritakan seperti kisah selepas pengakhiran di garis masa 2022 apa yang berlaku sebenarnya menjadikan dunia dilanda bencana virus dahsyat. Mereka cuba satu format yang aku nampak ada baiknya, tetapi cara penyampaian yang lemah membuatkan cerita bergilir 2022 dan 2036 ini tidak memuaskan hati.

Francais Resident Evil lakonan Milla Jovovich sudah pun cuba memancing peminat Resident Evil dengan meletakkan easter egg seperti yang cuba dilakukan dalam siri TV ini, tetapi tidak berjaya. Kenapa ingin ulangi format gagal yang sama?

Kualiti Visual

Dengan Constantin bekerjasama dengan Netflix, tidak dinafikan yang siri TV ini mempunyai bajet yang besar. Ia mempunyai kualiti CGI yang cantik dan mantap. Rekaan zombi yang menarik serta seram, menyertakan makhluk Lickers yang mengerikan atau juga anjing zombi yang terkenal yang menggerunkan. Ia dilakukan dengan baik, lebih kurang kualiti CGI pada filem Welcome To New Raccoon City. Cuma kalau visual baik dan cantik, tetapi cerita tidak – ia tidak berguna pun dan hanya satu pembaziran.

Kesimpulan

Tidak dinafikan, siri TV ini bukanlah yang terbaik untuk Resident Evil. Aku masih suka penyampaian cerita dalam filem animasi dan siri animasi di Netflix. Tetapi dalam banyak-banyak olahan aksi nyata Resident Evil, aku rasakan ini antara yang terbaik. Aku tidak ingin katakan ini, tetapi secara jujur aku akui yang aku mengharapkan Netflix akan teruskan untuk musim kedua. Kerana aku sangat ingin tahu kesinambungan kisah 2022 dan apa yang akan berlaku dalam kisah 2036 pada Billie dan Jade.

Resident Evil 2022 di Netflix ini jelas sekali masih tidak menjadi dan banyak lagi perlu dibaiki dalam penulisan skrip. Tetapi ia mempunyai potensi untuk menjadi satu olahan aksi nyata Resident Evil terbaik yang pernah dihasilkan.

Resident Evil
Sudah disiarkan sejak 14 Julai
Positif
Prestasi Lance Reddick yang mantap
Penceritaan Albert Wesker yang menarik
Visual dan grafik yang boleh diterima
Negatif
Penulisan skrip yang cringe
Perjalanan cerita yang sedikit aneh
Tidak mempunyai kepuasa menonton
7

Sohor Kini