Platform: PlayStation 5, PlayStation 4, Xbox One, Xbox Series, Nintendo Switch, PC (Dimainkan di PC).
Life is Strange: True Colors boleh dikatakan sebagai permulaan baharu untuk siri Life is Strange, oleh kerana ia dibangunkan sepenuhnya oleh Deck Nine Games dan tidak lagi melibatkan Dontnod Games iaitu pembangun untuk dua siri utama Life is Strange sebelum ini. Walaupun pembangun baharu, akan tetapi True Colors masih lagi mengekalkan apa yang baik daripada dua permainan lepas, ini sudah semestinya kerana Deck Nine Games bukanlah pembangun asing kerana mereka sebelum ini sudah terlibat dengan Life Is Strange: Before the Storm.
Kekuatan utama untuk True Colors adalah penceritaan yang baik yang disampaikan menggunakan watak-watak yang berkualiti. Permainan ini sekali lagi memperkenalkan watak baharu untuk siri Life is Strange, iaitu Alex Chen yang sebelum ini berada di bawah rumah kebajikan selepas ditinggalkan oleh ibu dan bapa. Permainan ini bermula dengan Alex Chen yang sudah dewasa ingin memulakan kehidupan baharu di Haven Springs, Colorado bersama dengan abangnya Gabe Chen yang sudah menetap di sana.

Alex Chen juga mempunyai kebolehan, seperti permainan-permainan Life is Strange sebelum ini, dan kebolehannya adalah dapat melihat emosi seseorang dalam bentuk aura, selain itu jika Alex fokus kepada emosi tersebut dia dapat melihat sebab mengapa terjadinya emosi tersebut seperti monolog, ataupun memori. Namun, jika sesuatu emosi tersebut terlalu kuat, ia akan memberi kesan kepada Alex sendiri dan boleh membuatkan dia hilang kawalan diri.
Pada awalnya keadaan bagaikan sempurna untuk Alex, kembali bersama dengan abangnya, penduduk Haven Springs yang menerimanya dengan tangan terbuka, akan tetapi kesemuanya berubah apabila abangnya, Gabe telah mati akibat kemalangan yang berlaku di kawasan penggalian. Ramai yang menganggap ia adalah kemalangan, akan tetapi Alex merasakan ada sesuatu yang dirahsiakan mengenai kematian abangnya. Menggunakan kebolehan tersebut, Alex memulakan siasatannya untuk merungkai kebenaran.

Di dalam penyampaian penceritaan ini, True Colors telah memberikan sesuatu yang sangat berkualiti dengan pacing yang baik, pada masa sama setiap segmen penceritaan adalah menarik dan tidak membosankan. Walaupun kebolehan Alex tidak menjadi fokus utama dan sekadar sampingan sahaja, akan tetapi ia memberi ruang kepada penceritaan manusia yang bagi saya lebih segar untuk diikuti. Satu sahaja rungutan yang saya boleh berikan adalah episod 5 iaitu episod terakhir bermula dengan imbas semula untuk kehidupan Alex dan Gabe semasa kecil, yang bagi saya sedikit mengganggu aliran penceritaan.
Ia bukanlah bahagian yang tidak baik, kerana bagi saya ia masih lagi satu bahagian yang penting, namun saya merasakan adalah lebih baik jika ia dilakukan dengan lebih awal dan tidak mengganggu penceritaan yang pada masa itu telah mencapai klimaks. True Colors juga mempunyai satu bahagian yang saya boleh katakan terbaik untuk mana-mana permainan Life is Strange iaitu ketika episod 3, di mana ia bagaikan menjadi permainan RPG, cara penyampaian yang digunakan saya boleh katakan adalah satu yang sempurna.

Penceritaan juga dibantu oleh perwatakan yang baik, setiap watak memainkan peranan yang penting tidak kira sebagai protagonis, antagonis ataupun sekadar menjadi watak pembantu sahaja. Oleh kerana permainan ini juga memberi peluang untuk Alex berhubung dengan mereka, ia menguatkan lagi penceritaan dengan saya mula mengenali watak-watak ini. Percakapan dan perwatakan watak-watak ini terasa realistik dan mudah untuk anda menyukai, walaupun watak yang bersifat kurang baik. Ini ditambah lagi dengan kebolehan Alex yang dapat membaca emosi seseorang membantu untuk memberikan lebih nilai tambah kepada perhubungan ini.
Bentuk permainan pula tidak mempunyai perbezaan yang ketara dengan permainan sebelum ini, sesi permainan dibahagikan kepada 5 episod, dan setiap episod pemain boleh mengembara di satu kawasan yang kecil untuk melakukan penceritaan utama ataupun sampingan. Ini kebiasaan melalui dialog, dan juga melakukan sesuatu aksi. Pemain juga boleh mencari collectible dalam bentuk memori dengan menggunakan kebolehan Alex ke atas barangan tertentu, barangan ini senang untuk dicari akan tetapi mudah terlepas jika tidak cuba mencarinya. Jika terlepas, selepas menghabiskan sesuatu episod, pemain boleh kembali untuk mencari barangan collectible tersebut, ia juga diperlihatkan di bahagian mana.

Penggunaan kuasa Alex pula adalah tidak terbuka, di mana hanya watak-watak tertentu di setiap episod sahaja yang akan mempunyai emosi yang boleh dibaca dan ini akan memberikan misi utama ataupun misi sampingan yang boleh dilakukan. Contohnya, memasang lagu yang memberikan kegembiraan kepada sesuatu watak. Misi-misi sampingan kebiasaannya adalah ringkas akan tetapi memberikan kepuasan emosi apabila melakukannya kerana ia kebiasaan membawa kepada momen yang gembira.
Misi sampingan juga adalah bahagian penting untuk menentukan perhubungan dengan sesetengah watak, dan ia akan memainkan peranan yang penting untuk pengakhiran penceritaan, yang mempunyai pilihan berbeza. Namun, ia tidak lah perbezaan yang besar seperti Life is Strange pertama akan tetapi lebih kepada apa seterusnya untuk Alex. Ia satu pengakhiran yang selamat, dan menjadi pilihan-pilihan yang dilakukan sebelum-sebelum ini terlalu jelas di antara baik dan buruk dan kurang keputusan yang dilakukan adalah berada di grey area.

True Colors sebagai permainan terbaru tidak mengejutkan mempunyai kualiti grafik terbaik di dalam siri ini, model watak, persekitaran dan juga rekaan dunia adalah sangat baik dan sangat cantik. Walaupun satu kawasan yang kecil sahaja tetapi mencukupi untuk menjadikan ia sangat menarik. Namun, walaupun dikeluarkan pada tahun lepas, akan tetapi pelbagai pepijat masih lagi ada dan prestasi bukanlah terbaik terutama untuk versi PC. Sokongan ray tracing terlalu berat, dan kelancaran juga tidak menentu, ini ditambah lagi dengan pemuatan yang lambat menjadikan sesuatu adegan atau persekitaran nampak sangat janggal. Bahkan ada masa model watak menjadi lebih teruk berbanding watak di dalam The Sims.
Selain itu, ia juga mempunyai masalah audio di mana ada masa percakapan menjadi terlalu kuat dan ada masa menjadi terlalu perlahan. Permainan ingin memberikan kesan percakapan dari dekat dan juga percakapan dengan watak yang berjauhan akan tetapi ia dilakukan dengan kurang baik menjadikan dialog ada masa kedengaran janggal. Saya tidak mencubanya di konsol, akan tetapi merasakan yang ia adalah lebih baik dimainkan di konsol terutama di PlayStation 5 ataupun Xbox Series, tambahan daripada itu, saya juga merasakan yang kawalan menggunakan papan kekunci dan tetikus bukanlah cara kawalan yang terbaik.

Akhir kata, Life is Strange: True Colors adalah satu lagi permainan berkualiti bagi siri Life is Strange ini, ia bukanlah yang terbaik masih lagi di belakang permainan pertama akan tetapi lebih menghampiri magis-nya berbanding permainan kedua. Penceritaan dan perwatakan yang dilakukan dengan baik menjadikan keseluruhan permainan menarik untuk diikuti. Walaupun mempunyai masalah prestasi dan juga pepijak akan tetapi ia tidak sangat mengganggu untuk saya menghayati permainan ini.
Jika anda menyukai permainan-permainan Life is Strange sebelum ini, ataupun mana-mana permainan penceritaan interaktif, Life is Strange: True Colors sudah semestinya satu permainan yang wajib anda cuba.