Johnny Depp adalah seorang pelakon yang berbakat. Baru-baru ini beliau hangat dibincangkan di web kerana kes saman malu terhadap bekas isteri beliau Amber Heard. Sejak kes ini mula kedengaran, Johnny tidak aktif dengan berlakon dalam mana-mana filem besar.
Selepas Fantastic Beasts: The Crimes of Grindelwald, beliau terlibat dengan filem City of Lies, Waiting for the Barbarians dan Minamata. Projek terkini beliau adalah filem berjudul La Favorite, sebuah filem arahan Maïwenn.
Filem ini mengisahkan kehidupan Jeanne Bécu, seorang anak luar nikah kepada tukang jahit di tahun 1743. Jeanne mencari jalan untuk meneruskan kehidupan sehingga menjadi kekasih kepada Raja Louis XV lakonan Johnny Depp. Semua ini berlaku ketika Revolusi Perancis dan menyebabkan Jeanne dipancung.
Terkini, Bloomberg melaporkan yang Netflix turut akan membiayai filem ini. Akan tetapi Netflix tidak terlibat untuk produksi filem, cuma filem ini akan disiarkan di Netflix selepas 15 bulan ditayangkan. Filem ini akan dihasilkan oleh Why Not Productions, studio di Perancis. Filem ini akan mula ditayangkan pada tahun 2023, namun masih tiada sebarang butiran jelas lagi mengenai jalan cerita penuh dan senarai pelakon lain.