Gamerant telah menjumpai satu paten yang difailkan oleh Sony dengan judul “Systems and Methods For Converting A Legacy Code Into An Updated Code”. Paten ini dengan kata lain adalah untuk teknologi yang membolehkan perkakas PlayStation yang lama digunakan di konsol terbaru, seperti PlayStation 5.

Antara perkakas yang dinyatakan di dalam paten ini adalah EyeToy, PS Mouse, PSP GO, PS Move dan juga pembaca kad, mungkin merujuk kepada pembaca kad-kad memori untuk PlayStation dan PlayStation 2.

Seperti mana paten-paten yang lain, ini tidak bermaksud yang Sony sedang membangunkan teknologi ini, ia mungkin sekadar satu paten sahaja. Namun, di satu berita yang berlainan, Sony juga sedang mencari “jurutera klasik”.

Melalui pengenalan untuk jawatan tersebut, jurutera tersebut akan membantu di dalam membawa permainan-permainan klasik ke konsol PlayStation 4 dan PlayStation 5, yang ditawarkan melalui langganan PS Plus yang baharu. Ini dengan kata lain terlibat dengan pembangunan pelagak untuk konsol terbaru tersebut.

Buat masa ini, hanya beberapa permainan PS1, PS2 dan PS4 sahaja boleh dimainkan di PS5, manakala PS3 hanya ditawarkan melalui awan kerana masih tiada pelagak untuknya. Jika jurutera baharu ini terlibat dengan menghasilkan pelagak untuk permainan PS3, ia sudah semestinya akan menjadi satu projek yang menarik.

Sohor Kini