Aku menjadi semakin minat dengan watak Thor sejak filem Thor: Ragnarok diarahkan oleh Taika Waititi. Apabila Thor menjadi satu watak yang lucu dan dengan penceritaan yang lebih ringan serta penuh komedi, ia memberikan satu pengalaman menonton yang cukup memuaskan untuk aku.
Filem Thor: Love And Thunder adalah filem solo Thor yang keempat dan juga satu-satunya filem solo MCU yang sudah mempunyai empat filem. Dalam filem ini, ia memfokuskan kepada Thor yang ingin mencari identiti beliau sendiri. Dalam pada itu, beliau telah bertemu kembali dengan Jane selepas lebih lapan tahun tidak bertemu. Tetapi Jane kini sudah menjadi Thor baharu. Mereka berdua kemudiannya bersama-sama dengan Korg dan Valkyrie perlu mencari jalan untuk menghentikan musuh baharu iaitu Gorr yang sedang memburu semua spesis dewa.
Dalam artikel ini, akan aku kongsi pengalaman menonton melalui akses awal yang diberikan oleh pihak Disney Studio Malaysia sejak hujung Jun lalu di pawagam. Aku akan cuba sampaikan sebaik mungkin tanpa beberan kerana filem ini hanya akan ditayangkan kepada umum pada 21 Julai akan datang.
Seperti yang aku katakan di atas, filem ini mengisahkan Thor yang ingin mencari kembali identiti beliau. Beliau dilihat beraksi bersama-sama dengan pasukan Guradians of the Galaxy, sama seperti bagaimana kali terakhir beliau dilihat dalam Avengers: Endgame. Dalam mencari ketenangan dan membina semula badan menjadi gagah perkasa, beliau kembali bertemu dengan Jane selepas lapan tahun tidak bersama. Tetapi apa yang mengejutkan beliau adalah, Jane kini telah menjadi Thor baharu dengan senjata kesayangan beliau Mjolnir. Sambil pada itu, mereka berdua bersama-sama dengan Korg dan Valkyrie perlu menghentikan penjahat baharu Gorr The God Butcher yang sedang memburu dan membunuh kesemua spesis dewa di angkasa.
Filem ini mempunyai satu penceritaan yang amat ringkas. Ia juga mempunyai durasi hanya 1 jam 59 minit, antara filem MCU yang pendek sejak 2018 dengan filem Ant-Man and the Wasp yang mempunyai durasi 1 jam 58 minit. Percaya atau tidak yang sepanjang hampir dua jam aku tonton filem ini, aku senyum tanpa henti dan kerap gelak terbahak-bahak kerana ia penuh dengan komedi. Aku tidak menafikan yang filem ini bukanlah filem terbaik MCU atau filem terbaik Thor. Filem ini terasa seakan satu parodi untuk watak Thor, kerana Thor yang sedang mencari identiti sebagai watak MCU telah hilang identiti sebagai satu filem MCU. Walaupun begitu, masa yang aku luangkan untuk filem ini adalah antara yang terbaik dan aku rasa gembira dapat tonton.
Malah, rakan-rakan media yang bersama dengan aku ketika tonton filem ini juga tidak berhenti ketawa. Dalam filem ini, watak paling menyerlah pada aku adalah Natalie Portman sebagai Jane Foster/Thor. Jane telah diberi peluang untuk bersinar dalam filem ini. Judul Thor pada filem ini pada aku bukan untuk Chris Hemsworth, tetapi adalah untuk Natalie. Watak beliau berjaya disampaikan dengan baik sekali, dengan mempunyai kisah di sebalik hubungan silam Jane dan Thor – bagaimana mereka boleh putus cinta dan bergerak ke haluan masing-masing.
Watak Valkyrie dan Korg dalam filem ini juga cukup menarik, cuma mereka berdua adalah watak sampingan dan aku tidak puas untuk melihat mereka di skrin – tetapi puas untuk lihat mereka bersama-sama dengan Thor dan Jane dalam filem ini. Berbanding Ragnarok, aku rasa watak Valkyrie dalam filem lepas adalah lebih baik. Korg pula adalah Taika menjadi diri sendiri dalam filem beliau sendiri, iaitu sentiasa lucu dan tidak masuk akal. Pemikiran beliau dan cara beliau bercakap pasti akan membuatkan aku tersengih.
Untuk watak Gorr lakonan Christian Bale, aku suka untuk lihat belia beraksi dalam MCU selepas kali terakhir beliau dalam dunia adiwira adalah untuk DC dalam trilogi Dark Knight di bawah Christopher Nolan. Rekaan watak beliau cukup menggerunkan, tetapi penampilan beliau dan aksi beliau terlampau singkat dalam filem ini membuatkan aku rasa beliau adalah antagonis yang lemas dan hanya jahat pada rupa. Aksi beliau tidak cukup menyerlah, sedangkan sepatutnya beliau perlu memainkan peranan yang lebih dahsyat.
Watak-watak lain seperti Russel Crowe yang menjadi Zeus dalam filem ini, beliau adalah satu watak yang pasti akan membuat penonton rasa menyampah kerana terlampau berlagak. Zeus adalah satu watak yang douchebag yang disampaikan dengan lucu. Pelakon seperti Chris Pratt, Sean Gunn, Pom Klementieff , Karen Gillan, Dave Bautista yang kembali sebagai watak masing-masing dalam Guardians of the Galaxy adalah amat singkat seperti yang didedahkan sebelum ini. Walaupun singkat, watak mereka cukup memberikan filem ini satu vibe yang menyeronokkan.
Aku turut suka dengan penampilan khas watak-watak lain yang pasti akan membuatkan anda terkejut ketika menonton kelak. Filem ini berjaya membuatkan aku rasa puas hati selepas kecewa dengan filem Dr. Strange in the Multiverse of Madness yang pada aku tidak memuaskan.
Filem ini pada aku akan membuatkan orang ramai rasa gembira dan ketawa tanpa henti. Ia adalah satu filem dengan penceritaan yang ringkas, membuktikan inilah Thor yang sepatutnya kita saksikan dan bukannya yang gerun dan serius seperti filem pertama dan kedua. Elemen komedi ini menjayakan watak Thor ini dan dalam Ragnarok ia membuktikan yang komedi adalah perwatakan yang sesuai untuk beliau kerana mempunyai daya pemikiran dungu, tetapi masih hebat dari aspek yang lain.
Filem ini turut memberi petanda yang akan ada watak mempunyai masa depan lebih cerah dalam dunia MCU. Mungkin dalam filem, atau mungkin dalam siri sampingan. Mereka dilihat akan meneruskan watak-watak Thor dalam projek-projek MCU lain yang membuatkan aku tidak sabar untuk saksikan apakah potensi watak-watak ini.
Thor: Love And Thunder mempunyai dua adegan tambahan, iaitu satu sebelum kredit panjang dan satu pasca-kredit. Kedua-dua adegan ini pasti akan membuatkan anda terkejut, jadi jangan terus pulang selepas menonton filem ini. Aku turut akan kembali ke panggung wayang 21 Julai nanti untuk tonton kali kedua, kerana aku perlukan komedi dalam MCU untuk menceriakan hati selepas penat bekerja.