Joey King mungkin ramai yang mengenali melalui siri filem popular di Netflix iaitu The Kissing Booth yang telah mempunyai tiga filem, di mana dia membawa watak utama Elle Evans. Di dalam filem tersebut, watak adalah lebih kepada remaja perempuan yang melalui kisah percintaan, oleh itu perwatakan Joey King di dalam The Princess adalah satu yang sangat berlainan dan dia telah memberikan satu prestasi memuaskan.
The Princess adalah satu filem aksi ganas yang memfokuskan kepada seorang puteri raja yang terpaksa menyelamatkan diri sendiri apabila istananya telah diceroboh oleh sekumpulan penjahat. Puteri lakonan Joey King ini bukanlah puteri-puteri raja kebiasaan akan tetapi dia adalah seorang yang mempunyai kemahiran di dalam pertahanan diri, dan filem ini sepenuhnya memfokuskan bagaimana dia melawan dengan penjahat-penjahat ini.
Lakonan Joey King yang baik, terus membuatkan saya lupa yang dia lah pelakon di dalam filem The Kissing Booth kerana persona yang sangat berbeza. Aksi pertempuran juga dilakukan dengan baik, ia tidak terlampau ganas, namun setiap aksi diperlihatkan dengan baik. Pada awalnya setiap aksi dilakukan dengan memuaskan akan tetapi apabila penceritaan menjadi lebih ke-depan dan melibatkan lebih banyak penjahat, pertempuran juga mula kelihatan seperti satu koreografi yang serba sedikit mencacatkan pengalaman tontonan.
Satu-satunya perkara yang membantu untuk mengurangkan kekurangan tersebut adalah pilihan sesuatu adegan itu diperlihatkan yang bagi saya dilalukan sangat baik. Ia menggunakan beberapa trick kamera, dan juga suntingan aksi, namun tiada yang menjengkelkan. Saya tidak perasan jika ada mana-mana bahagian yang menggunakan teknik senang iaitu membuatkan kamera bergegar untuk memberi perasaan aksi yang pantas, sebaliknya ia lebih kepada suntingan sudut kamera yang memberi efek lebih berkesan dan tidak terlalu mengganggu pengalaman menonton.
Selain daripada aksi dan juga lakonan yang baik oleh Joey King, saya boleh katakan tiada bahagian lain di dalam filem ini yang membantu untuk menjadikan ia lebih menarik. Jalan penceritaan adalah ringkas, dan terdapat banyak perkara yang tidak masuk akal. Contohnya, filem ini adalah mengenai istana raja akan tetapi sepanjang filem ini tidak langsung diperlihatkan mana hilangnya tentera ataupun penjaga-penjaga istana dan raja. Ia mungkin untuk memberikan lebih fokus kepada Puteri raja, akan tetapi ia masih lagi satu perkara yang janggal.
Filem ini juga sering diganggu oleh imbas kembali, filem ini bermula secara terus dengan Princess telah ditangkap, kemudian dari semasa ke semasa adegan imbasan diperlihatkan untuk memperlihatkan apa yang berlaku sebelum ini, bagaimana Princess belajar untuk berlawan dan juga perhubungan Princess dengan keluarganya. Apa yang diperlihatkan adalah penting untuk memberi lebih kefahaman kepada penceritaan akan tetapi pada masa sama, bagi saya ia tidak perlu dilakukan secara imbasan, sebaliknya mencukupi secara dialog.
Benar, apabila melihat watak Princess mampu melawan dengan penjahat-penjahat membuatkan saya tertanya bagaimana dia tahu cara melawan, namun tidak semestinya ia perlu dijawab secara terus ataupun diperlihatkan dengan imbasan. Filem ini dikatakan adalah filem seakan John Wick di zaman pertengahan, oleh itu saya ingin mengambil contoh bagaimana filem tersebut memperlihatkan yang John Wick adalah satu watak yang harus digeruni.
Ia hanya dilakukan sekadar dialog sahaja, John Wick membunuh orang dengan menggunakan pensel sahaja, tidak perlu adegan itu diperlihatkan akan tetapi dengan penyampaian yang baik melalui dialog ia sudah mencukupi. Perkara yang sama sepatutnya boleh dilakukan di dalam filem The Princess ini, terutama adegan imbasan dilakukan dengan sangat lemah, ia bukan sahaja gagal menyampaikan dengan baik tetapi juga mengganggu pengalaman menonton.
Filem ini juga mempunyai masalah watak penjahat yang kurang menarik, terdapat dua watak jahat utama iaitu Julius lakonan Dominic Cooper yang ingin menjadi raja dengan memaksa untuk Princess berkahwin dengannya dan Moira lakonan Olga Kurylenko pembantu kepada Julius. Dua watak ini sepatutnya membawa watak yang ganas dan tidak berperikemanusiaan, akan tetapi penyampaian adalah lemah dan saya tidak langsung mempunyai sebarang perasaan terhadap mereka.
Sebagai satu filem komedi, ia juga menyertakan jenaka, dan kebanyakan jenaka disampaikan dengan halus dan tidak terlalu mendesak walaupun ada beberapa jenaka yang terasa cringe, tetapi ia mencukupi dan tidak menjadikan filem ini terasa murahan.
Perkara-perkara ini membuatkan perantaraan di antara adegan-adegan berlawan terasa lemah yang menjadikan filem ini kurang menyerlah. Namun, oleh kerana ia bukan majoriti untuk filem ini yang lebih memfokuskan kepada aksi-aksi lawan yang ganas, ia tidak sangat mengganggu cuma tidak dapat untuk menjadikan filem ini lebih baik.
Akhir kata, The Princess adalah satu filem popcorn flick yang seronok untuk ditonton kerana aksi-aksi perlawanan yang dilakukan dengan baik serta pembawaan yang baik oleh Joey King bagi watak Princess namun selain daripada itu ia tidak memberi sebarang nilai tambah selain sebagai penggerak plot sahaja, yang membuatkan ia satu filem yang anda akan have fun semasa menonton akan tetapi akan dilupakan selepas itu.
Dengan kata lain, ia tidak akan memberikan impak yang sama dengan filem-filem aksi lain seperti John Wick ataupun Taken
Penafian: Tontonan awal untuk The Princess disediakan oleh Disney. Ia boleh ditonton melalui Disney+ Hotstar pada 29 Julai 2022.