Aku masih ingat lagi pengalaman menonton filem animasi Big Hero 6 yang ditayangkan pada tahun 2014. Ia mempunyai penceritaan yang menarik, perkembangan watak yang baik, serta mempunyai konsep adiwira yang berbeza.

Filem ini seperti judulnya, memfokuskan lima remaja iaitu Hiro Hamada, Fred, Go Go, Wasabi, Honey Lemon dan juga Baymax sebuah robot yang boleh berkembang dan kempis sendiri ciptaan abang Hiro iaitu Tadashi sebagai adiwira menghentikan penjenayah Robert Callaghan/Yokai. Big Hero 6 juga adalah adaptasi daripada komik Marvel.

Selepas beberapa tahun, Disney hadir dengan siri animasi Big Hero 6: The Series. Kini selepas beberapa tahun lagi, Disney hadir dengan siri animasi pendek Baymax! untuk siaran di Disney+.


Pengalaman Menonton

Siri animasi pendek ini mempunyai enam episod secara keseluruhan, di mana durasi setiap episod adalah sekitar 7-9 minit. Baymax! dilihat berlaku selepas kejadian daripada filem, di mana Baymax kini mempunyai kesedaran untuk terus membantu orang awam. Ia memfokuskan sepenuhnya kepada watak Baymax dengan penampilan seperti Cass makcik Hiro dan Hiro sendiri.

Siri ini boleh juga dilabelkan sebagai siri antologi, di mana ia mempunyai kisah tersendiri. Tetapi pada masa yang sama ia berlaku dalam dunia yang sama dengan episod akhir mengumpulkan semua watak-watak episod 1-5 untuk satu misi.

Setiap episod mempunyai penceritaan yang amat ringkas, tetapi masih padat dengan pengajaran. Setiap episod juga menceritakan bagaimana Baymax cuba membantu satu watak utama dalam episod tersendiri, serta bagaimana setiap watak ini degil dan mempunyai pendirian sendiri yang mereka tidak perlukan bantuan.

Episod pertama misalnya mengisahkan Kiko yang sudah lanjut usia dan mempunyai penyakit. Baymax yang memberi nasihat untuk bersenam seperti berenang diingkari oleh Kiko dengan alasan fobia terhadap air. Tetapi lama kelamaan, ia berjaya meyakinkan Kiko untuk berhadapan dengan fobia dan cuba untuk lupakan memori silam untuk teruskan kehidupan.

Episod dua juga mempunyai penceritaan lebih kurang sama. Cass, makcik Hiro menjadi titik fokus cuma kali ini ia menekankan mengenai yakin dengan bantuan orang lain dan kepercayaan terhadap seseorang. Seterusnya adalah kisah Sofia, pelajar sekolah yang hilang keyakinan, episod empat kisah Mbita yang tidak berani mencuba sesuatu yang baru, kemudian kisah Yachi iaitu seekor kucing yang tertelan fon telinga.

Setiap episod ini mempertontonkan bagaimana Baymax yang bersimpati dengan orang awam dan haiwan dan membantu masing-masing untuk terus sihat, mempunyai keyakinan dan semangat. Siri animasi ini ditamatkan dengan episod yang memfokuskan kepada Baymax. Selepas berhari-hari merayau di seluruh bandar untuk membantu orang awam, Baymax mula kehabisan bateri dan “mati” kerana tidak sempat mengecas diri sendiri.

Hiro mula risau dan mula mengumpulkan semua orang yang telah dibantu oleh Baymax untuk menjadi satu pasukan adiwira baharu dalam misi mencari Baymax. Episod ini juga antara episod yang paling menarik pada aku, kerana mempunyai detik-detik cemas, penggunaan gajet daripada filem Big Hero 6 serta aksi yang lucu yang cukup untuk membuatkan aku terhibur selepas penat kerja seharian.

Aku tidak terlampau menilai dari logik akal siri animasi ini kerana ia adalah siri yang ringkas dan difokuskan untuk tontonan kanak-kanak. Tetapi aku cukup suka untuk apa yang mereka cuba sampaikan dengan bagaimana perjalanan siri animasi ini yang pendek tetapi masih boleh mengingatkan keseronokan tonton filem ini lapan tahun lalu.

Kesimpulan

Di akhir siri ini, mereka menggelar diri mereka sebagai pasukan Little Hero 6 kerana membantu menyelamatkan Baymax dengan ahli-ahli yang tidak mempunyai kuasa hebat atau kepintaran Hiro. Siri animasi ini cukup menarik untuk tontonan bersahaja atau bersama keluarga. Ia pendek, padat dengan pengajaran kehidupan dan masih menghiburkan.

Setiap episod siri animasi ini, berjaya membuatkan aku tersenyum walaupun untuk seketika. Ia juga memperlihatkan dunia Baymax, di mana orang ramai sudah mengenali robot yang boleh berkembang kempis sendiri ini sebagai robot adiwira yang mesra, baik hati dan penuh simpati.

Baymax!
Siaran Bermula Sejak 29 Jun
Ia adalah satu siri animasi sampingan, sekuel kepada filem animasi Big Hero 6 yang ditayangkan pada tahun 2014. Animasi ini mempunyai durasi yang pendek, memperlihatkan Baymax yang terus menjadi adiwira membantu orang-orang awam yang memerlukan bantuan.
Positif
Penuh dengan pengajaran berguna untuk kanak-kanak
Animasi yang berkualitil, cantik dan menarik
Memperlihatkan lagi kebolehan Baymax yang hebat
Negatif
Durasi pendek yang tidak memuaskan
9
Skor Ulasan

Sohor Kini