Apple TV+ mula dilancarkan secara serentak untuk 100 negara, termasuk Malaysia pada tahun 2019. Platform penstriman video ini kini sudah beroperasi selama tiga tahun dan mempunyai banyak kandungan dalam bentuk bersiri, filem, dokumentari, animasi, dan banyak lagi.

Majoriti kandungan Apple TV+ ini adalah kandungan asli Apple Originals. Tetapi mereka turut ada membida filem dan membeli lesen daripada studio lain seperti Greyhound daripada Sony Pictures.

Kandungan Apple TV+ walau bagaimanapun masih terhad dan jika dibandingkan dengan platform pesaing seperti Netflix, Disney+, Prime Video, dan lain-lain lagi yang mempunyai lebih banyak kandungan – mereka masih menjadi platform penstriman dengan kualiti terbaik.

Ini kerana, menurut satu kajian oleh Self Financial yang menggunakan data IMDB – Apple TV+ mempunyai kandungan dengan rating tertinggi dalam IMD dengan purata skor 7.08 untuk tahun 2022. Sementara pada tahun 2021, Apple juga masih lagi memegang skor tertinggi dengan purata 7.24.

Tahun 2022 juga, Apple TV+ berjaya menerima rating tertinggi untuk drama dengan skor 7.34 berbanding tahun lepas yang hanya 3.9. Untuk filem pula, walaupun Apple TV+ mempunyai kurang 15 judul untuk setiap kategori seperti aksi, pengembaraan dan perang – filem di Apple TV+ turut mempunyai skor IMDB tertinggi.

Apple TV+ turut memegang carta dengan penawaran kandungan mesra keluarga pada kualiti tertinggi dengan skor 7.34 seperti Fraggle Rock dan Charlie Brown. Tetapi tewas dengan Disney+ yang mempunyai 1139 kandungan, berbanding Apple yang hanya mempunyai 38 judul.

Bercakap lagi mengenai kandungan berkualiti tinggi, Hulu sebenarnya mempunyai kandungan 4K dengan kualiti 4K terbaik – sementara Netflix mempunyai kandungan 4K terbanyak dengan 667 judul. Netflix juga mempunyai 2.7x lebih banyak siri TV berkualiti iaitu 619 judul dan mempunyai penawaran filem baru terbanyak iaitu 1404 judul dari 2021 hingga 2022.

Walaupun kandungan pesaing lebih banyak, Apple TV+ tetap menjadi yang paling digemari ramai. Dari 2021 ke 2022, Apple sudah menambah sebanyak 55.78% kandungan dalam pustaka mereka. Apple TV+ sejak kebelakangan ini masih konsisten dengan penawaran kandungan berkualiti sehinggakan menang banyak anugerah seperti filem CODA, K-Drama Pachinko yang menerima sambutan yang sangat baik, Severance dan WeCrashed juga begitu.

Dengan sambutan hangat ini, Apple TV+ juga terus menjaga pengguna mereka dengan meneruskan banyak siri TV dengan musim baharu seperti Ted Lasso, Foundation, The Morning Show atau juga For All Mankind.

Sohor Kini