Apple Arcade telah mengumumkan senarai permainan yang akan menyertai perkhidmatan langganan tersebut bagi bulan Julai. Antara permainan baharu yang diumumkan adalah Subway Surfers Tag iaitu permainan sampingan berdasarkan permainan popular Subway Surfers.

Subway Surfers Tag akan dikeluarkan pada 15 Julai, di dalam permainan ini, pemain boleh menjelajah arena yang interaktif sambil menaiki skate untuk mendapatkan markah tertinggi. Pemain akan membuka lebih banyak arena dengan bermain dan setiap-nya akan menjadi lebih sukar.

Selain itu, mereka juga mengumumkan Heroish iaitu permainan oleh Sunblink iaitu permainan aksi RPG di mana pemain akan membentuk pasukan dan boleh menggunakan salah seorang daripada 6 hero. Ia akan menyertakan mod permainan solo dan juga multi-pemain, 1 lawan 1 ataupun 2 lawan 2.

Selain dua permainan baharu ini, Apple Arcade juga akan menerima tiga permainan popular yang pernah dikeluarkan di App Store iaitu My Bowling 3D+ yang akan dikeluarkan pada 1 Julai, Samorost 3+ dikeluarkan pada 8 Julai dan Kingdom Rush Vengeance TD+ yang akan tiba pada 29 Julai 2022.

Apple Arcade ditawarkan dengan harga RM19.90 yang boleh dikongsi dengan 5 orang keluarga, ia juga boleh diperoleh melalui langganan Apple One yang juga menyertakan Apple Music dan Apple TV+ dengan harga RM19.90 untuk pelan individu dan RM33.90 untuk pelan keluarga.

Anda juga boleh baca 10 permainan menarik untuk anda cuba jika memiliki langganan Apple Arcade ataupun bercadang untuk mendapatkannya: 10 Permainan Baharu Di Apple Arcade Yang Menarik.

Sohor Kini