Siapa sangka hasil keputusan daripada ujian DNA kadangkala tidak akan membuatkan semua pihak gembira? Ia mungkin untuk mencari waris keluarga, membuktikan darah daging antara ahli keluarga dan pelbagai lagi situasi.
Tetapi untuk Evie lakonan Nathalie Emmanuel (Ramsey, francais Fast & Furious) beliau terperangkap dalam satu keluarga yang mengerikan, di mana boleh dikatakan ia adalah satu neraka di dunia. Semua ini berlaku dalam filem The Invitation, anda boleh tonton treler di bawah;
Selepas ibu Evie meninggal dunia, Evie tiada lagi keluarga yang beliau kenal. Untuk mencari ahli keluarga lain beliau mula melakukan ujian DNA. Hasil keputusan menunjukkan yang beliau ada sepupu jauh yang tidak pernah beliau tahu wujud. Beliau kemudiannya dijemput ke satu majlis perkahwinan mewah dan telah digoda oleh seorang bangsawan. Hari demi hari, beliau dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena dan ada banyak perkara aneh mula berlaku.
Siapa sangka, beliau sebenarnya telah hadir ke majlis perkahwinan diri sendiri yang dirancang oleh sepupu beliau. Dalam cubaan melarikan diri, Evie saksikan banyak perkara misteri, mistik dan juga pembunuhan. Ibarat beliau telah dijemput ke satu neraka yang beliau menyesal terima jemputan.
Selain Nathalie Emmanuel, pelakon seperti Thomas Doherty, Stephanie Corneliussen, Alana Boden, Courtney Taylor, Hugh Skinner dan Sean Pertwee turut terlibat dalam filem ini. The Invitaion diarahkan oleh Jessica M. Thompson, ditulis oleh Blair Butler dan adalah satu filem Sony Pictures. Filem ini akan ditayangkan pada 15 September akan datang.