Minggu lepas, Blizzard telah mengumumkan yang Overwatch 2 akan dilancarkan pada 4 Oktober 2022 untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series dan Nintendo Switch. Mereka juga mengesahkan yang ia akan menjadi permainan percuma untuk dimainkan.
Blizzard kemudian melakukan penerangan lanjut mengenai permainan tersebut, terutama mengenai peralihan ke sistem percuma untuk dimainkan ini.
Antara yang diperkatakan adalah mereka tidak lagi akan menyertakan sistem kotak tikam, sebaliknya barangan kosmetik boleh didapatkan melalui Battle Pass yang akan mempunyai secara percuma dan berbayar dan juga melalui kedai di dalam permainan di mana pemain boleh melakukan pembelian secara terus.
Ini boleh dikatakan peralihan yang mengikut kebanyakan permainan yang lain, terutamanya Fortnite. Bagi kami, ia satu peralihan yang baik kerana tidak lagi menggunakan sistem kotak tikam yang bergantung kepada nasib.
Bacaan lanjut: Fortnite Membuktikan Yang Sistem Kotak Tikam Tidak Diperlukan, Apa Alasan Permainan Lain?
Overwatch 2 juga kali ini akan menyertakan fungsi rentas kemajuan yang akan membolehkan pemain menggunakan satu akaun sahaja tidak kira platform mana ia sedang dimainkan, segala barangan kosmetik juga akan di bawa ke semua platform.
Kandungan baharu juga akan disertakan setiap 9 minggu iaitu tempoh untuk satu musim berakhir, bagi tahun ini mereka akan menyertakan kandungan untuk musim pertama pada 4 October, dan berikutnya pada 6 Disember yang akan menyertakan hero, peta dan kostum baharu.