Kejohanan Mobile Legends: Bang Bang Southeast Asia Cup akhirnya memasuki hari terakhir hari ini, selepas perlawanan sejak seminggu yang lepas, Pusingan Akhir memperlihatkan perlawanan di antara RRQ Hoshi dari Indonesia dan RSG Filipina untuk merebut gelaran pasukan terbaik di Asia Tenggara.

Ini adalah perlawanan kedua di antara pasukan yang ini, di mana mereka semalam bertempur di Peringkat Akhir (Upper Bracket) yang telah memperlihatkan RRQ Hoshi memberikan prestasi yang baik untuk menjadi pasukan pertama ke Peringkat Akhir.

RSG Filipina pula terpaksa turun ke Lower Bracket, walaupun usaha yang baik dilakukan oleh pasukan senegara iaitu Omega Esports akan tetapi RSG Filipina bermain dengan cemerlang untuk mendapat peluang bertemu sekali lagi dengan RRQ Hoshi di peringkat yang lebih bermakna.

Pusingan Pertama

Pusingan pertama untuk Peringkat Akhir ini memperlihatkan RSG Filipina mendapat skor pertama, dengan disiplin mereka di dalam bertahan. RRQ Hoshi pada awalnya mendominasi permainan dengan mendapat hampir kesemua objektif dan telah mendapat Lord demi Lord dan beberapa kali hampir menamatkan permainan. Namun, RSG Filipina tidak gementar sebaliknya bertahan dengan cemerlang sebelum melakukan serangan balas.

RRQ Hoshi juga memperlihatkan disiplin pertahanan yang baik, dan membatalkan beberapa percubaan RSG Filipina untuk mencuri kemenangan, akan tetapi di Lord terakhir, RSG Filipina bukan sahaja memperoleh Lord akan tetapi berjaya untuk membunuh beberapa pemain RRQ Hoshi menghalang daripada mereka untuk melakukan pertahanan dan RSG menamatkan pusingan ini dengan mudah.

Pusingan Kedua

Pusingan kedua boleh dikatakan perkara yang sama berlaku, akan tetapi ia lebih sengit. RRQ Hoshi bermula dengan baik dan mengawal perlawanan. Manakala RSG Filipina sekali lagi mengambil kerusi belakang dan lebih memfokuskan kepada bertahan, akan tetapi mereka lebih mengambil peluang untuk menyerang berbanding pusingan pertama.

RRQ Hoshi sekali lagi tidak berjaya untuk menggunakan kelebihan awal yang dimiliki oleh mereka, walaupun tampak membaca pergerakan RSG Filipina. Sebaliknya, di dalam cuba menyerang mereka melakukan kesilapan dengan bermain terlalu agresif dan dihukum oleh RSG dan menjadikan skor 0-2.

Pusingan Ketiga

RSG Filipina meneruskan tema “kalah pertempuran, tetapi menang peperangan” di pusingan ketiga, disiplin mereka untuk mengetahui bila perlu melakukan serangan dan bila perlu bertahan benar-benar memberi kelebihan kepada mereka untuk memenangi pusingan ini, dan memberikan tekanan kepada RRQ Hoshi dengan mempunyai mata perlawanan dengan skor 3-0,

RRQ Hoshi seperti biasa dapat melakukan serangan yang kuat dan membunuh pemain-pemain RSG Filipina dengan cepat, akan tetapi mereka tidak dapat mengambil kesempatan kerana RSG Filipina yang tidak langsung melakukan sebarang kesilapan di dalam keputusan mereka.

Pusingan Keempat

Berbanding sekali lagi mengharapkan pertahanan, RSG Filipina bermain dengan lebih agresif di pusingan penentuan untuk mereka ini. Mereka bukan sahaja cuba untuk menyelesaikan objektif akan tetapi turut menghalang RRQ Hoshi untuk melakukan perkara yang sama. Ini sekali gus memberi kelebihan kepada mereka.

RRQ Hoshi mungkin mengharapkan perkara yang sama seperti pusingan-pusingan sebelum ini, terkejut dengan serangan agresif oleh RSG Filipina, dan tidak dapat melakukan pertahanan yang berkesan. Prestasi ini telah memberikan kemenangan yang dicari-cari oleh RSG Filipina untuk menjadi pasukan terbaik di Asia Tenggara, mengekalkan takhta tersebut di Filipina.

Dengan kemenangan ini, RSG Filpina mendapat majoriti daripada hadiah terkumpul sebanyak $300 ribu, selain akan memegang takhta sebagai pasukan Mobile Legends terbaik di Asia Tenggara dan juga Filipina. Sasaran mereka seterusnya sudah semestinya M4 yang akan berlangsung pada bulan Januari tahun depan, tetapi masih tiada tuan rumah yang diumumkan.

Sohor Kini