Spiderhead ini diarahkan oleh Joseph Kosinski yang baru sahaja hadir dengan filem Top Gun: Maverick, satu filem yang boleh dikatakan sebagai antara filem terbesar tahun ini. Spiderhead juga dibarisi oleh senarai pelakon ternama seperti Chris Hemsworth dan Miles Teller. Ia juga merupakan filem berdasarkan satu cerita pendek cereka sains yang sangat baik iaitu “Escape from Spiderhead” oleh George Saunders, oleh itu saya boleh katakan teramat terkejut dengan produk akhir untuk filem ini yang bagaikan keliru dengan diri sendiri.
Filem ini tidak mempunyai satu arahan yang kukuh, sama ada ia ingin menjadi satu filem drama ataupun komedi, menjadi filem misteri ataupun ringkas, dan mungkin juga ingin menjadi kesemua itu, dan gagal. Bukanlah satu filem yang panjang, lebih kurang 100 minit sahaja akan tetapi boleh membuatkan penceritaan membosankan, dan apabila mencapai klimaks ia bukan sahaja gagal dihasilkan dengan baik akan tetapi membuatkan saya keliru bukan dengan apa yang terjadi tetapi mengapa ia dilakukan sebegitu.
Spiderhead adalah filem cereka sains yang memfokuskan kepada watak Abnesti lakonan Chris Hemsworth yang merupakan seorang genius di dalam bidang perubatan, dan dia sedang melakukan eksperimentasi dadah terhadap sebilangan banduan di satu tempat tersembunyi. Banduan-banduan ini telah diberikan peluang untuk tidak tinggal di penjara untuk menjadi bahan ujikaji dan antara daripada mereka adalah Jeff lakonan Miles Teller yang dipenjara kerana memandu secara mabuk dan mengakibatkan kematian.
Dadah-dadah yang diuji oleh Abnesti mempunyai kesan tersendiri, antaranya membuatkan orang gelak ketawa, ada yang membuatkan orang melihat segala benda dengan positif dan ada juga yang membuatkan orang menjadi gelisah. Perhubungan di antara Abnesti dan Jeff boleh dikatakan akrab akan tetapi apabila Abnesti mula meminta Jeff untuk melakukan perkara-perkara yang aneh, Jeff mula syak wasangka dengan apa yang sedang dilakukan di dalam ujikaji ini.
Sepanjang filem ini sekadar memperlihatkan apa yang dilakukan oleh dadah-dadah tersebut, dan pada masa sama membina perwatakan Jeff yang jatuh cinta kepada seorang lagi banduan iaitu Lizzy lakonan Jurnee Smollett. Pada awalnya, ia nampak menarik dan membuat saya tertarik dengan apa yang akan berlaku selepas ini, ataupun apa rahsia sebenar. Namun, filem ini gagal untuk menggunakan perasaan ingin tahu saya ini untuk menjadikan filem lebih menarik, tetapi ia terasa mendatar sahaja sepanjang penceritaan.
Permasalahan disampaikan dengan terlalu biasa, tidak memberi kesan emosi kepada saya. Perwatakan Abnesti dan Jeff juga tidak dikembangkan dengan baik. Perhubungan di antara Jeff dengan Lizzy juga terasa dipaksa. Beberapa bahagian yang sepatutnya menjadikan penonton emosi juga disampaikan dengan sedikit bercelaru, berbanding memberi perasaan sedih, ia sekadar ingin saya berasa sedih walaupun keputusannya adalah tidak.
Chris Hemsworth dan Miles Teller juga tidak diberi peluang untuk menyampaikan watak mereka dengan lebih berkesan kerana penceritaan terlalu fokus untuk memperlihatkan perasaan mereka melalui penanda visual dan juga imbas kembali, walaupun bagi saya kedua-dua pelakon sangat berbakat untuk menyampaikan dengan sekadar berlakon sahaja. Di bahagian akhir mereka berdua diberi peluang untuk benar-benar memberi emosi yang penuh akan tetapi sekali lagi gagal dengan pilihan arahan untuk menghasilkan bahagian tersebut.
Jika ada filem yang benar-benar membunuh diri sendiri melalui bahagian akhir filem, saya boleh katakan Spiderhead adalah antara filem tersebut. Bahagian akhir membuatkan saya ternganga bukan kerana terpukau dengannya, sebaliknya tertanya-tanya “apa kah ini?”. Bahagian akhir terasa sangat janggal jika ingin dibandingkan dengan bahagian-bahagian lain. Ia bagaikan mereka menghasilkan filem selama beberapa bulan, kemudian “oh sila habiskan filem ini dalam masa sehari”. Bahagian yang sepatutnya menjadi bahagian paling penting, gagal untuk memberi penutup yang memuaskan. Sekurang-kurangnya ia tidak lagi mendatar kerana apabila sampai bahagian akhir, ia terus menjunam jatuh.
Akhir kata, saya tidak boleh katakan yang filem ini seronok untuk ditonton. Ia mempunyai premis yang menarik berkait dengan cereka sains dan juga dadah-dadah yang boleh mengawal tingkah-laku manusia, akan tetapi penyampaian adalah terlalu pelik, menjadikan filem mempunyai banyak bahagian filem yang janggal. Ia adalah satu penceritaan yang gagal untuk berkembang, dan apabila sampai di bahagian penting, ia terjatuh dan tidak lagi bangun. Aneh, kerana ini adalah filem yang melibatkan Joseph Kosinski, Chris Hemsworth dan Miles Teller.
Spiderhead boleh ditonton di Netflix.