Eiyuden Chronicle: Rising adalah permainan sampingan Eiyuden Chronicle: Hundred Heroes yang merupakan permainan JRPG oleh Rabbit & Bear Studios iaitu bekas-bekas pembangun Suikoden. Namun, Rising tidak membawa bentuk permainan JRPG tetapi lebih kepada permainan aksi pengembaraan yang ringkas.
Pemain akan bermain sebagai CJ iaitu seorang pengembara yang ingin mencari harta-harta karun, CJ telah pergi ke satu pekan di New Nevaeh di mana selepas berlakunya gempa bumi, yang telah membuka satu gua yang terdapat pelbagai barangan yang bernilai. Selain CJ, terdapat pelbagai pengembara-pengembara lain yang ingin mendapat kekayaan yang sama.
Mengambil kesempatan ramai yang datang untuk memasuki gua tersebut, Isha yang menjadi ketua kampung selepas ayahnya menghilangkan diri telah memperkenalkan sistem lesen. Setiap yang ingin memasuki gua dan mencari barangan bernilai perlu membayar lesen tersebut yang dijual dengan sangat mahal. Jika tidak mampu, mereka boleh menggunakan sistem setem sebagai ganti.
Sistem setem ini berfungsi dengan apabila membantu sesiapa sahaja di dalam kampung tersebut, penduduk boleh memberikan setem, setem ini kemudiannya boleh ditukar untuk mendapat pelbagai ganjaran termasuk juga lesen untuk memasuki gua tersebut. Pemain sebagai CJ mulalah mengumpul setem tersebut, walaupun sudah mendapat akses ke gua tersebut. CJ juga kemudiannya akan ditemani oleh Garoo dan Isha.
Kekuatan utama permainan ini sudah semestinya watak yang dilakukan dengan sangat baik, terutama untuk tiga watak utama tersebut. Setiap-nya mempunyai personaliti tersendiri dengan CJ seorang yang riang dan sentiasa bersemangat, manakala Garoo lebih serious tetapi mempunyai bahagian yang lembut manakala Isha seorang yang lebih matang daripada umurnya.
Selain tiga watak ini, terdapat ramai lagi watak menarik lain yang hadir sebagai sampingan sahaja untuk permainan ini, tetapi sudah semestinya tidak sabar untuk berjumpa mereka semula di dalam permainan utama kelak.
Misi-misi yang diberikan ini kebiasaan adalah ringkas, dan banyak yang berulang akan tetapi oleh kerana ia mengambil masa yang singkat sahaja untuk dilakukan, saya tidak merasa bosan melakukannya. Tambahan, ia tidak diwajibkan jika anda ingin sekadar menghabiskan permainan ini. Saya juga suka melakukan misi-misi ini kerana perwatakan serta dialog yang menarik oleh watak-watak sampingan di dalam permainan ini.
Sepanjang permainan ini, pemain akan melalui beberapa kawasan seperti di dalam hutan, di dalam gua dan juga di atas bukit. Setiap kawasan akan mempunyai cabang kawasan tersendiri yang akan beberapa kali dilalui oleh pemain untuk menyelesaikan misi. Oleh kerana raksasa ataupun penjahat di kawasan tersebut akan terus kekal tahap yang sama, kawasan-kawasan awal akan menjadi mudah untuk dilalui, mempercepatkan lagi untuk melakukan misi.
Namun, apabila memasuki kawasan baharu, penjahat akan menjadi lebih sukar walaupun secara amnya pertempuran masih lagi ringkas akan tetapi ia akan menjadi semakin mencabar dan mula perlu meluangkan masa untuk mempertingkatkan senjata dan juga perisai pemain. Ia boleh dilakukan dengan mendapatkan barangan tertentu dan juga meningkatkan tahap kedai-kedai berkait dengan menyelesaikan misi sampingan mereka.
Bercakap mengenai pertempuran, ia adalah sistem pertempuran yang berlainan dengan permainan Eiyuden Chronicle: Hundred Heroes iaitu mengikut turutan, manakala di dalam rising ia lebih kepada hack ‘n’ slash, di mana pemain boleh membawa tiga watak, dan setiap daripadanya mempunyai serangan sendiri. Pada satu masa satu watak sahaja boleh melakukan serangan, akan tetapi boleh menekan butang untuk watak tersebut agar ia bertukar dan melakukan serangan tersendiri. Jika dilakukan dengan masa yang tetap, Link Attack akan berlaku untuk memberi serangan yang lebih berkuasa.
Selain melakukan misi-misi ini dan mengumpul setem, terdapat juga satu penceritaan utama yang akan bergerak apabila melakukan misi utama. Ia adalah satu penceritaan yang menarik, banyak menyentuh lore-lore menarik bagi penceritaan Eiyuden, selain itu ia juga memberi peluang untuk saya lebih mengenali watak-watak di dalamnya terutama tiga watak utama. Walaupun ringkas, ia juga adalah satu pengenalan penceritaan yang baik sebelum permainan utama iaitu Eiyuden Chronicle: Hundred Heroes.
Saya tidak pasti perbezaan di antara grafik di dalam permainan Rising dan Hundred Heroes kelak, akan tetapi apa yang sudah diperlihatkan di dalam Rising, ia sudah cukup baik. Menggabungkan 2D dengan persekitaran 3D menjadikan ia nampak sangat unik dan menarik seperti apa yang dilakukan oleh Octopath Traveler.
Namun, ia bukanlah satu masalah kerana permainan ini lebih kasual dan bukan untuk pemain mengasah kemahiran sebelum dapat mengalahkan penjahat-penjahat di dalamnya. Sebaliknya, ia lebih kepada permainan yang anda boleh main ketika mempunyai masa terluang, sedang menantikan sesuatu? Anda boleh buka permainan ini dan mengumpul satu atau dua setem, dan saya boleh katakan ia bagaikan satu terapi.
Akhir kata, Eiyuden Chronicle: Rising adalah satu permainan ringkas yang menyertakan loop permainan yang berulang dengan melakukan misi-misi sampingan ringkas bersama dengan misi utama yang pendek sahaja. Ia bukan satu permainan penuh, dan mereka tidak cuba menjadikannya satu permainan penuh. Namun, ia adalah satu permainan yang mencukupi untuk menjadi satu pengenalan kepada dunia Eiyuden Chronicle.
Sistem pertempuran juga ringkas akan tetapi nampak sangat menarik terutama dari segi visual selepas melakukan pelbagai kombo. Grafik permainan juga menarik dan diperkuatkan lagi dengan perwatakan serta dialog yang baik. Oleh kerana bentuk permainan ini yang lebih kasual, jika anda memiliki Nintendo Switch, ia adalah platform terbaik untuk permainan ini.
Penafian: Kod permainan Eiyuden Chronicle: Rising disediakan oleh 505 Games untuk tujuan ulasan ini. Eiyuden Chronicle: Rising sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series, Nintendo Switch dan PC.