Kejohanan Mobile Legends: Bang Bang Southeast Asia Cup sudah menghampiri penutup dengan perlawanan kedua terakhir baru sahaja selesai yang memperlihatkan dua pasukan dari Filipina iaitu RSG Filipina dan Omega Esports bertempur untuk merebut slot ke Peringkat Akhir, di mana RRQ Hoshi sedang menanti.

RSG Filipina hari ini dikalahkan oleh RRQ Hoshi untuk jatuh ke Lower Bracket, manakala Omega Esports selepas tewas di peringkat Suku Akhir (Upper Bracket) berada di Lower Bracket dari awal lagi, namun mereka bermain dengan cemerlang untuk mencapai Peringkat Akhir (Lower Bracket).

Perlawanan di antara RSG Filipina dan Omega Esports mengulangi semula Peringkat Akhir MPL Filipina, yang pada waktu itu yang turut dimenangi oleh RSG Filipina.

Di pusingan pertama, RSG Filipina bermula dengan baik dan mendominasi hampir sepanjang permainan, namun apabila mereka melakukan gerakan untuk menghabiskan permainan, Omega Esports bertahan dengan baik dan mula melakukan serangan mereka sendiri dan ia dilakukan dengan jayanya. Pengawalan oleh Omega Esports secara langsung meneutralkan kelebihan yang dipegang oleh RSG sebelum ini dan Omega berjaya mengambil kesempatan untuk memenangi pusingan pertama menjadikan skor 0-1.

Manakala pusingan kedua, Omega Esports bermula seperti mana mereka mengakhiri pusingan pertama, mengawal rentak permainan, akan tetapi RSG Filipina tidak memberikan banyak ruang untuk Omega Esports melakukan serangan yang berkesan, sebaliknya mereka bermain dengan berhati-hati tetapi memenuhi segala kesempatan yang diberikan untuk melakukan serangan dan memenangi pusingan ini menjadikan skor 1-1.

Di pusingan ketiga, kedua-dua pasukan bermain dengan selamat, dan melakukan serang secara taktikal dan tidak terlalu mendesak. Namun, permainan yang sebegini tampaknya memberi kelebihan kepada RSG Filipina yang sentiasa nampak lebih berbahaya. Walaupun perlawanan boleh dikatakan seimbang akan tetapi ia akhirnya dimenangi oleh RSG Filipina dan membawa permainan ke pusingan keempat dengan skor 2-1.

Omega Esports membuktikan sekali lagi mereka bukan pasukan yang boleh disingkirkan dengan mudah apabila memaksa pusingan penentuan dengan memenangi pusingan keempat untuk menjadikan skor 2-2 dengan cara permainan yang teknikal. Mereka mengawal kawasan permainan dengan mendapat kebanyakan objektif yang ada untuk memberi mereka kelebihan, ditambah lagi dengan prestasi Raizen yang sangat baik.

Di pusingan penentuan, melihat apa yang terjadi di pusingan keempat, RSG Filipina bermain dengan lebih agresif dan menghalang daripada Omega Esports untuk melakukan objektif ataupun mengawal permainan. Omega Esports cuba untuk mengulangi pusingan pertama akan tetapi RSG Filipina berjaya untuk mendapatkan Lord bagi membantu mereka memenangi pusingan penentuan.

Dengan kejayan ini, RSG Filipina melayakkan diri ke Pusingan Akhir dan akan bertemu semula dengan RRQ Hoshi di dalam misi membalas dendam esok.

Sohor Kini