Kejohanan Mobile Legends: Bang Bang Southeast Asia Cup tidak lagi mempunyai mana-mana pasukan dari Malaysia, akan tetapi ia diteruskan lagi dengan tiga perlawanan penting hari ini yang sudah semestinya dinanti-nantikan oleh pemain-pemain Mobile Legends: Bang Bang.

Hari ini memperlihatkan Pusingan Akhir (Upper Bracket) di antara RSG Filipina dan RRQ Hoshi, Pusingan Separuh Akhir (Lower Bracket) di antara Falcon Esports dan Omega Esports dan juga Pusingan Akhir (Lower Bracket) di antara pasukan kalah di Pusingan Akhir (Upper Bracket) lawan dengan pemenang untuk Pusingan Separuh Akhir (Lower Bracket).

Bagi Pusingan Akhir (Upper Bracket) ia memperlihatkan persaingan yang sengit di antara RSG Filipina dan RRQ Hoshi di pusingan pertama lagi. Mereka saling berbalas serangan akan tetapi RRQ Hoshi berjaya untuk bukan sahaja melakukan serangan akan tetapi menghalang daripada RSG Filipina untuk melakukan serangan mereka untuk mendapat mata pembukaan menjadikan skor 0-1.

Di pusingan kedua perkara yang sama berlaku, pada awal kelihatan RSG Filipina dan RRQ Hoshi sama hebat, dan serangan kedua-duanya menjadi akan tetapi pada pertengahan perlawanan RRQ Hoshi mula menjarakkan diri dan menjadi terlalu kuat untuk RSG memberikan mata kedua kepada RRQ menjadikan skor 0-2.

Berbeza pula untuk pusingan ketiga, bagaikan belajar daripada dua pusingan yang lepas, RSG Filipina mendominasi sepanjang permainan dan segala langkah yang ingin dilakukan oleh RRQ Hoshi mudah untuk dipatahkan oleh RSG memaksa RRQ untuk sekadar bertahan sahaja. Namun, RSG menjadi terlalu kuat dan sekali gus membawa perlawanan ke pusingan keempat dengan skor 1-2.

Namun, di pusingan penentuan, perlawanan kembali menjadi sengit akan tetapi dari awal lagi kelebihan adalah berpihak kepada RRQ Hoshi terutama dengan disiplin serangan yang dilakukan oleh mereka, memilih masa yang tepat untuk menjadi agresif dan akhirnya berjaya mengalahkan RSG Filipina untuk menjadi pasukan pertama ke Peringkat Akhir, dan sekurang-kurangnya menjadi pasukan kedua terbaik di Asia Tenggara.

Ini bukanlah penutup untuk RSG Filipina, mereka masih lagi berpeluang menyertai RRQ Hoshi, melalui Pusingan Akhir (Lower Bracket) bertemu dengan Falcon Esports atau Omega Esports lewat hari ini.

Sohor Kini