Hari ini, Kejohanan Mobile Legends: Bang Bang Southeast Asia Cup adalah hari di mana dua pasukan Malaysia iaitu Todak dan Orange Esports akan cuba untuk meneruskan lagi penglibatan mereka melalui perlawanan peringkat Suku Akhir (Lower Bracket) selepas mereka kalah di peringkat Separuh Akhir (Upper Bracket) sebelum ini.
Berakhirnya perlawanan untuk hari ini memperlihatkan kedua-dua pasukan Malaysia iaitu Todak dan Orange Esports gagal untuk meneruskan perjuangan mereka di dalam kejohanan ini apabila masing-masing tewas di peringkat Suku Akhir (Lower Bracket).
Untuk Orange Esports mereka melawan dengan baik akan tetapi kalah 3-2 kepada Omega Esports. Perlawanan pertama memperlihatkan Omega Esports bermula dengan langkah kanan apabila memenangi pusingan ini walaupun percubaan yang baik oleh Orange Esports tetapi untuk menyekat kemaraan mereka bagi menjadikan skor 0-1. Pusingan ini juga beberapa kali terganggu kerana masalah teknikal.
Manakala pusingan kedua berlangsung dengan baik tanpa sebarang gangguan, dan Orange Esports bermain dengan sangat baik dan sentiasa meletakkan kaki di pedal untuk terus menyerang dan tidak memberi kesempatan untuk Omega Esports bertahan menjadikan skor 1-1.
Di pusingan ketiga, Omega Esports cuba membalas serangan agresif Orange Esports di pusingan kedua yang menjadikan satu pusingan yang sangat pantas. Dengan kedua-dua pasukan melakukan serangan demi serangan, akan tetapi Orange Esports berjaya melakukan serangan yang lebih berkesan, memberikan mereka kelebihan dengan skor 2-1.
Belajar daripada dua pusingan sebelum ini, Omega Esports memulakan pusingan keempat dengan sangat baik mengawal permainan dari awal lagi. Orange Esports dari awal gagal untuk memberi sebarang cabaran terutama kerana damage yang dilakukan oleh mereka terlalu rendah untuk menyekat kemaraan Omega, yang membawa perlawanan ke pusingan ke-5 dengan skor 2-2.
Momentum daripada pusingan keempat diteruskan oleh Omega Esports untuk meneruskan dominasi mereka di dalam pusingan penentuan dengan mereka mengawal perlawanan dari awal lagi dan Orange Esports gagal untuk mencari pintu peluang melakukan serangan balik.
Omega Esports yang merupakan juara pada tahun lepas ketika dikenali sebagai Execration, sekali lagi membuktikan mereka adalah pasukan yang menyerlah apabila berada di dalam keadaan terdesak. Mereka akan bertemu Falcon Esports bagi menentukan pasukan yang layak ke Peringkat Akhir (Lower Bracket).
Bagi hari esok ia sudah semestinya satu hari yang penting untuk kejohanan ini apabila tiga pertandingan utama akan berlangsung iaitu Pusingan Akhir (Upper Bracket) di antara RSG Filipina dan RRQ Hoshi, Pusingan Separuh Akhir (Lower Bracket) di antara Falcon Esports dan Omega Esports dan juga Pusingan Akhir (Lower Bracket) di antara pasukan kalah di Pusingan Akhir (Upper Bracket) lawan dengan pemenagn untuk Pusingan Separuh Akhir (Lower Bracket).