Nampaknya tahun ini, Pinocchio agak popular. Disney akan hadir dengan filem aksi nyata berasaskan filem animasi klasik dengan Tom Hanks sebagai Geppetto dan Guillermo del Toro pula akan hadir dengan filem animasi gerak henti (stop motion) Pinochhio dengan iterasi beliau sendiri.

Vanuty Fair beberapa hari lepas telah berkongsi lebih imej untuk filem ini. Bersama-sama dengan imej ini, mereka turut peroleh lebih banyak informasi mengenai di sebalik tabir kenapa filem ini dihasilkan.

Pertama sekali, filem ini dihasilkan kerana Guillermo sukakan kaitan antara Pinocchio dan Frankenstein. Walaupun begitu, filem ini adalah filem mesra kanak-kanak dan sesuai untuk seisi keluarga. Ia juga akan mempunyai cerita yang berbeza dengan Pinocchio asal, di mana patung berubah menjadi manusia dengan magis. Filem beliau lebih kepada patung yang hidup perlu mempunyai perangai seakan manusia.

Filem ini juga lebih kepada bagaimana jika Pinocchio hidup di dunia sebenar. Oleh itu filem ini berlaku di Itali di antara perang dunia pertama dan kedua. Kemudian, watak Pinocchio (lakonan suara Gregory Mann) adalah seorang yang dungu, ceria dan bersifat ingin belajar, beliau juga diukir dari pokok yang tumbuh pada kubur anak Geppetto (lakonan suara David Bradley, Game of Thrones).

Geppetto yang ingin kembali menjadi ayah sukar menerima Pinocchio kerana mempunyai sifat yang bertentangan. Watak cengkerik terkenal juga ada, iaitu Sebastian J. Cricket (lakonan suara Ewan McGregor) yang pentingkan diri sendiri dan memahami perasaan Pinocchio. Watak penjahat pula berbeza dengan asal, di mana musang, kucing dan dalang (puppeteer) digabungkan menjadi satu watak – Count Volpe (lakonan suara Christoph Waltz).

Watak lain yang turut memainkan peranan penting dalam filem ini adalah Ron Perlman memainkan watak Mangiafuoco iaitu wakil kerajaan yang ingin Pinocchio menyertai tentera, kemudian turut ada Candlewick lakonan Fin Wolfhard iaitu anak Mangiafuoco.

Berdasarkan apa yang dikongsi, filem ini kelihatan menarik. Ia adalah filem asli untuk Netflix yang akan disiarkan pada Disember 2022 nanti. Sama-sama kita nantikan.

Sohor Kini