Bandai Namco hari ini telah berkongsi treler baharu untuk permainan Digimon Survive yang telah mengesahkan tarikh pelancaran bagi permainan tersebut seperti diumumkan sebelum ini iaitu 29 Julai 2022.

Anda boleh tonton video tersebut di bawah.

Selain mengesahkan tarikh pelancaran, video tersebut juga akhirnya memperlihatkan adegan serta bentuk permainan untuk Digimon Survive. Ia memperlihatkan sesi dialog yang kelihatan seperti novel visual, bentuk permainan mencari barangan dan juga pertempuran mengikut turutan. Ia juga memperlihatkan beberapa jenis Digimon dan bagaimana mereka berevolusi.

Digimon Survive akan memfokuskan penceritaan dengan pelbagai pengakhiran. Setiap jalan penceritaan permainan ini juga berkait rapat dengan pilihan yang dilakukan oleh pemain. Pilihan pemain tersebut juga akan memberi kesan terhadap evolusi Digimon tersebut.

Ia diumumkan untuk PlayStation 4, Xbox One, Nintendo Switch dan PC serta boleh dimainkan juga di PlayStation 5 dan Xbox Series melalui keserasian belakang.

Sohor Kini