Garena telah mengumumkan yang kempen “Free Fire untuk Semua” yang berlangsung sejak bulan April lepas diteruskan lagi sehingga bulan Ogos tahun ini. Meneruskan kempen ini, Free Fire akan berkolaborasi dengan kumpulan Dolla menyertai Ismail Izzani dan Zizan Razak sebelum ini.

Dolla adalah kumpulan muzik yang terdiri daripada Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya dan mereka hadir dengan lagu sulung pada tahun 2020 iaitu “Dolla Make You Wanna”.

Melalui kerjasama ini, mereka akan hadir dengan lagu baharu iaitu “FIGHT” yang akan menggabungkan beberapa bahasa dan unsur tradisional untuk menekankan tema budaya. Lagu ini akan menerima video muzik dan juga boleh distrim di Spotify bermula 17 Jun 2022.

Selain pelancaran lagu, satu acara kolaborasi penstriman langsung akan berlangsung pada 25 Jun. Ia akan menyertakan perlawanan Free Fire, pelbagai permainan berteraskan tema budaya, serta peluang memenangi barangan eksklusif – termasuk barangan yang ditandatangani oleh keempat-empat ahli kumpulan Dolla.

Dalam gelombang terbaharu aktiviti “Free Fire Untuk Semua”, sebuah segmen baharu bernama “Semua Budaya” akan dibuka secara eksklusif melalui acara web Free Fire Kembara Untuk Semua, yang telah berlangsung sejak April tahun ini. Segmen ini akan berjalan seiring kolaborasi bersama Dolla dari 13 hingga 30 Jun.

Free Fire sudah dikeluarkan untuk iOS dan Android. Ia adalah permainan percuma dan menyertakan pembelian di dalam aplikasi.

Sohor Kini