Goals Adalah Permainan Simulasi Bola Sepak Yang Menyertakan NFT

Permainan simulasi bola sepak seperti FIFA oleh EA sentiasa mempunyai pasaran di mana pemain akan jual beli pemain ataupun kad pemain yang kemudiannya boleh digunakan di dalam mod permainan, iaitu FIFA Ultimate Team.

Namun, EA tidak membenarkan kad pemain ini dijual secara terus antara pemain ke pemain sebaliknya ia mesti melalui pasaran yang disediakan oleh mereka. Melakukan sebarang jual beli tanpa melalui medium rasmi adalah salah dan boleh mengakibatkan akaun diharamkan.

Hadir Goals yang menurut pembangun ingin mengubah perkara tersebut, dengan menggunakan teknologi rantaian-blok dan juga NFT mereka ingin memastikan pemain boleh menjual beli barangan di dalam permainan secara terbuka.

Mereka juga berkongsi treler untuk permainan tersebut tetapi ia sekadar animasi dan tidak memperlihatkan sebarang bentuk permainan. Anda boleh tonton di bawah.

Walaupun menyertakan rantaian-blok dan NFT, pembangun mengatakan yang mereka terlebih dahulu akan memfokuskan kepada bentuk permainan dan pemain tidak perlu mempunyai pengetahuan mengenai perkara tersebut untuk bermain permainan ini.

Buat masa ini tarikh pelancaran dan juga platform permainan akan tiba tidak diumumkan akan tetapi ia disahkan akan menjadi permainan percuma untuk dimainkan dan akan menyokong fungsi rentas-platform.

Sohor Kini