Awal pagi semalam, Apple telah menganjurkan Worldwide Developers Conference yang antaranya telah mengumumkan sistem operasi seterusnya bagi peranti pintar mereka iaitu iOS 16, walaupun tidak banyak mengenai permainan video yang diumumkan, namun ia adalah menyertakan fungsi menarik yang anehnya tidak diumumkan.

Macrumours telah melaporkan berdasarkan beberapa ciapan oleh pembangun permainan untuk iOS iaitu Riley Testut, iOS 16 menyokong alat kawalan Nintendo Switch Pro dan juga Nintendo Joy-con secara terus.

Bagi Nintendo Switch Pro ia akan mempunyai sokongan seperti alat kawalan DualShock, DualSense dan juga Xbox, namun bagi Joy-con ia mempunyai sokongan seperti konsol Nintendo Switch di mana iOS 16 menyokong kedua-dua joy-con secara berasingan ataupun sebagai satu alat kawalan.

Fungsi ini sangat berguna jika anda ingin melakukan sesi bermain koperasi secara setempat, berbanding memerlukan dua alat kawalan, anda boleh menggunakan joy-con (kanan) dan joy-con (kiri) sebagai dua alat kawalan berbeza.

Oleh kerana joy-con tidak mempunyai jumlah butang seperti alat kawalan biasa, anda boleh melakukan pengubah-suaian sendiri mengikut permainan, akan tetapi dengan sokongan rasmi oleh iOS 16, pembangun-pembangun permainan sudah semestinya akan menyokong joy-con secara terus.

iOS 16 akan dikeluarkan secara rasmi dengan iPhone seterusnya oleh Apple yang dijangka sekitar bulan September ataupun Oktober. Namun, versi beta untuk pembangun sudah boleh dimuat turun dan dicuba.

Sohor Kini