Penerimaan konsep NFT di dalam permainan video masih lagi satu perkara yang diperdebatkan, ada yang bersetuju ada yang tidak. Namun, ini tidak menghalang pembangun-pembangun permainan untuk hadir dengan permainan yang menggunakan konsep tersebut.

Kebanyakan permainan ini akan ditawarkan secara sendiri, di mana pemain boleh memuat turunnya secara terus ataupun disertakan di dalam permainan yang sudah dikeluarkan seperti yang dilakukan oleh Ubisoft.

Grit iaitu permainan battle royale berdasarkan ‘Wild West’ boleh dikatakan sebagai permainan dengan NFT pertama yang ditawarkan di gedung permainan utama iaitu Epic Games Store.

Buat masa ini maklumat mengenai permainan ini masih tidak banyak yang dikongsi akan tetapi dikatakan yang barangan yang diperoleh daripada permainan tersebut boleh dijual beli melalui pasaran terbuka. Anda juga boleh lihat beberapa tangkapan skrin yang serba sedikit memperlihatkan kualiti permainan ini.

Kami boleh katakan, setakat apa yang diperlihatkan, ia bukanlah satu permainan yang nampak menarik ataupun unik dan boleh dikatakan sebagai alternatif murahan untuk Red Dead Redemption. Di Twitter ada beberapa pengguna yang berkongsi video bentuk permainan, dan ia nampak masih di peringkat awal.

Dengan mendapat penyenaraian di Epic Games Store, ia mungkin akan menerima perhatian daripada lebih ramai pemain, secara positif dan juga negatif.

Tim Sweeney iaitu pengasas untuk Epic Games mengatakan yang beliau merasakan yang kebanyakan permainan yang menggunakan NFT dan rantaian-blok adalah satu penipuan, namun beliau menegaskan yang Epic Games Store tidak akan menghalang daripada penyenaraian permainan yang menggunakan konsep ini selagi mana ia tidak melanggan mana-mana undang-undang.

Ia adalah satu pendirian yang berbeza dengan satu lagi gedung utama permainan PC iaitu Steam yang terus mengharamkan permainan yang mempunyai NFT di gedung mereka. Anehnya, Grit juga disenaraikan di Steam tetapi tiada tertulis mengenai NFT ataupun rantaian-blok, berbeza dengan penyenaraian di Epic Games Store yang mengatakan ia adalah permainan battle royale web3.

Sohor Kini