Ramai mengenali Netflix sebagai platform penstriman video. Mereka menawarkan banyak kandungan asli seperti filem, siri TV, animasi dan banyak lagi. Banyak juga kandungan mereka mempunyai peminat setia tersendiri dan menjadi popular sehinggakan ada banyak kolaborasi dengan pelbagai jenama untuk menjual barangan eksklusif.

Tahukah anda yang Netflix mempunyai kedai atas talian tersendiri? Kedai ini diberi nama sebagai netflix.shop dan dalam semakan kami baru-baru ini, majoriti barangan di dalam kedai atas talian ini turut boleh dihantar ke Malaysia. Bukan itu sahaja, buka sahaja laman web ini ia turut akan mencadangkan untuk ke kedai atas talian khusus untuk Malaysia dengan senarai harga dalam mata wang Ringgit.

Kedai ini dilihat menjual banyak barangan eksklusif mengikut kategori seperti filem dan siri TV netflix Originals. Antara yang ditawarkan adalah The Adam Project, The Harder They Fall, Texas Chainsaw Massacre, Squid Game, Ozark, Money Heist, Starnger Things atau juga Bridgerton.

Mereka turut mempunyai barangan dengan kerjasama bersama artis dan jenama seperti Tracy Tubera, Natalie Nguyen, BEAMS Japan, Unhide, Chilleez, Funko Pop! dan banyak lagi.

Contoh barang Money Heist adalah kasut-kasut Reebok dan baju, Stranger Things pula ada pelbagai pakaian, alat solek, jam Timex, beg galas, Squid Game pula ada figura aksi, topeng, filem The Adam Project ada baju sama seperti filem Texas Chainsaw Massacre, baju jenama Netflix sendiri juga ada banyak.

Netflix.shop ini turut menjual barang untuk pengumpul barangan edisi terhad seperti kanvas seni kandungan Netflix, kaset, piring hitam dan pelbagai pilihan lagi. Barangan alat tulis, teh jenama Bridgerton juga ada ditawarkan.

Harga barangan ada yang berpuluh ringgit, ratusan, beribu-ribu atau juga pakaian berjenama Balmain bernilai lebih RM30,000. Setiap barangan ini dilihat dihantar daripada Amerika Syarikat. Ada yang boleh dihantar ke Malaysia dan ada yang tidak. Tetapi dalam semakan kami majoritinya boleh dibeli.

Malah antara barang baru yang sudah kehabisan stok adalah prop misai Chris Evans untuk filem The Gray Man yang dijual pada harga RM72. Adakah anda akan membeli sesuatu daripada kedai atas talian Netflix ini?

Sohor Kini