Pada awal tahun ini, PlayStation telah mengumumkan yang generasi baharu untuk set kepala realiti maya PlayStation VR2 akan dikeluarkan untuk PlayStation 5. Mereka masih tidak mengumumkan tarikh pelancaran akan tetapi ramai yang menjangkakan tiba pada awal tahun 2023.

Hari ini ketika PlayStation State of Play, mereka telah mengumumkan empat permainan yang akan dilancarkan untuk PSVR2. Permainan-permainan yang diumumkan adalah;

  • Resident Evil Village – Berdasarkan permainan Resident Evil terbaru yang dikeluarkan pada tahun 2021. Keseluruhan permainan boleh dimainkan secara VR.
  • The Walking Dead: Saints & Sinners Retribution – Permainan susulan untuk The Walking Dead: Saints and Sinners yang dikeluarkan pada tahun 2020. Ia dibangunkan oleh Skydance Interactive.
  • No Man’s Sky – Permainan pengembaraan oleh Hello Games sebelum ini telah menerima kemaskini sokongan untuk dimainkan secara realiti maya, mod tersebut tampaknya akan turut dibawa untuk PSVR2.
  • Horizon: Call of the Mountain – Ia adalah antara permainan pertama yang diumumkan untuk PSVR2 dan merupakan permainan sampingan untuk siri Horizon iaitu Zero Dawn dan Forbidden West.

PSVR2 telah diumumkan akan menggunakan panel OLED dengan resolusi 4K HDR iaitu di setiap mata akan menggunakan resolusi 2000 x 2040 dengan kadar kelancaran 90Hz ataupun 120Hz. Ia juga akan memudahkan pemasangan dengan penggunaan wayar USB-C tunggal.

Sohor Kini