Razer telah mengumumkan yang mereka akan mengemaskini set fon kepala Barracuda X dengan versi serba baru, selain itu turut memperkenalkan dua lagi model iaitu Barracuda dan Barracuda Pro untuk penawaran yang lebih premium.

Barracuda X iaitu set fon kepala yang paling mampu milik untuk siri ini ditawarkan dengan harga RM549 dan kali ini ia disertakan 3.5 analog dan juga SmartSwitch Dual Wireless untuk membolehkan ia digunakan melalui sambungan 2.4Ghz ataupun Bluetooth. Bagi pemacu pula ia menggunakan Razer TriForce 40mm yang menyokong bunyi 7.1 Surround. Ketahanan bateri adalah sehingga 50 jam.

Ia ditawarkan dengan tiga pilihan warna iaitu Black, Mercury dan Quartz.

Manakala Barracuda pula menyertakan pemacu TriForce Titanium 50mm yang menawarkan bunyi THX Spatial dan sokongan mikrofon pembatalan-hingar. Ia mempunyai ketahanan bateri sehingga 40 jam dan juga menyokong SmartSwitch Dual Wireless dan juga 3.5 analog. Ia ditawarkan dengan harga RM899.

Pilihan paling premium adalah Barracuda Pro yang menawarkan teknologi pembatalan hingar aktif bersama dengan pemacu TriForce Bio-Cellulose 50mm yang menyokong THX Achromatic Audio Amplifier dan THX Spatial Audio. Ia juga menyertakan mikrofon pembatalan-hingar dan mempunyai ketahanan diri sehingga 40 jam. Ia ditawarkan dengan harga RM1,399.

Ketiga-tiga set fon kepala ini mula ditawarkan bermula hari ini melalui pengedar rasmi Razer dan juga Razer.com.

Sohor Kini