PlayStation telah mengumumkan kembali kejohanan esukan untuk Gran Turismo iaitu Gran Turismo World Series. Kejohanan ini akan bermula secara dalam talian pada 27 Mei dan 28 Mei dan seperti sebelum-sebelum ini akan dibahagikan kepada dua kategori iaitu Nations Cup dan Manufacturers Cup.

Dengan pelancaran Gran Turismo 7, World Series ini juga akan menggunakan permainan terbaru tersebut dan pemain boleh menyertai melalui PlayStation 4 ataupun PlayStation 5. Anda boleh baca ulasan kami di pautan ini; Ulasan Gran Turismo 7 – Permainan Simulasi Lumba Kereta Yang Mendalam.

Nations Cup, pelumba akan mewakili negara mereka manakala Manufactures Cup pemain akan berlumba sebagai satu pasukan. Pusingan kelayakan akan berlangsung sepanjang bulan Mei sehingga Jun, dan pelumba yang layak akan berlumba di dalam Broadcast Events untuk setiap kategori dan juga World Series Showdown pada 29, 30 dan 31 Julai.

Setiap perlumbaan ini akan memberikan skor kepada pelumba bergantung kepada prestasi yang akan dikira untuk mencari juara dunia.

Selepas World Series Showdown, kejohanan akan diteruskan untuk musim kedua dengan pusingan kelayakan akan berlangsung pada bulan Ogos sehingga September dengan terdapat dua pusingan untuk Broadcast Events yang akan berlangsung sepanjang bulan September sehingga Oktober.

Sebelum World Series 2022 ditutup dengan World Finals, TGR GT Cup akan dianjurkan pada 24 November 2022. World Final bagi tahun ini akan berlangsung di Sporting Monte Carlo pada 25,25 dan 27 November 2022.

Anda boleh rujuk gambar rajah di bawah untuk maklumat lanjut mengenai World Series 2022.

Sohor Kini