EA Sports tampaknya bakal hadir dengan permainan mudah alih baharu untuk bola sepak menyertai FIFA Mobile iaitu EA Sports Tactical Football. Seperti FIFA Mobile, pemain juga boleh membentuk pasukan sendiri menggunakan pemain-pemain sebenar akan tetapi berbanding mengawal sesi permainan, pemain perlu memilih pergerakan yang ingin dilakukan.

Kami boleh katakan ia adalah seperti permainan-permainan klasik Captain Tsubasa pada suatu ketika dahulu. Berdasarkan tangkapan skrin diperlihatkan jumlah “kuasa” untuk sesuatu pergerakan dan jumlah “pertahanan”. Dengan kata lain jika kuasa melebihi pertahanan, gerakan tersebut akan berjaya.

Pemain juga tampaknya boleh memilih untuk melakukan skill move. Buat masa ini bentuk permainan secara lebih mendalam tidak diperlihatkan lagi, dan kami menjangkakan ia adalah sesi permainan PvP dan mengikut turutan.

EA Sports Tactical Football sudah tersenarai di Play Store dan boleh di pra-daftar di beberapa negara, tetapi masih tidak boleh dilakukan di Malaysia. Berdasarkan penyenaraian, ia berkemungkinan besar adalah permainan percuma yang menyertakan pembelian di dalam aplikasi dan akan turut dikeluarkan untuk iOS.

Sohor Kini