Double Eleven Merasmikan Pembukaan Studio Di Malaysia

Double Eleven iaitu studio yang yang mempunyai ibu pejabat di England pada tahun 2020 telah mengumumkan yang mereka akan membuka cawangan di Malaysia, sebagai studio kedua dan juga studio antarabangsa pertama untuk mereka.

Hari ini, secara rasminya mereka membuka studio di Mid Valley, Kuala Lumpur dengan studio bersaiz 12 ribu kaki persegi yang mempunyai pelbagai kelengkapan seperti ruang pembangun, percubaan dan juga kawasan-kawasan untuk pembangun beristirahat dan bersosial.

Semasa merasmikan pembukaan studio ini Mark South iaitu COO untuk Double Eleven mengatakan yang mereka sentiasa mementingkan pekerja dan akan memastikan keseimbangan kehidupan dan kerja sentiasa terjaga.

Membuka studio di Malaysia yang mempunyai perbezaan masa 7 hingga 8 jam berbanding UK juga akan memberi peluang kepada mereka untuk meneruskan pembangunan secara berterusan tanpa memerlukan pekerja bekerja lebih masa ataupun crunch. Selain itu, beliau juga berterima kasih kepada MDEC yang banyak membantu proses mereka untuk membuka studio di Malaysia.

Bercakap mengenai bakat-bakat yang ada di Malaysia, beliau mengatakan yang pembangun-pembangun di Malaysia mempunyai minat dan semangat untuk terlibat di dalam industri ini, selain itu, mereka juga bekerjasama dengan universiti-universiti tempatan untuk memastikan mereka mendapat pembangun-pembangun berbakat.

Mereka juga masih mempunyai jawatan-jawatan terbuka untuk studio di Malaysia yang anda boleh lihat senarainya disini.

Manakala memberi ulasan mengenai studio-studio permainan video sekarang yang banyak diambil-alih, beliau mengatakan sentiasa berbangga yang mereka adalah studio indie, oleh itu dapat membuat keputusan secara sendiri tanpa desakan daripada mana-mana pihak.

Double Eleven sebelum ini telah membangunkan permainan seperti Rust, Minecraft Dungeons, Prison Architect, Limbo dan Little Big Planet. Baru-baru ini mereka juga diumumkan akan membangunkan kandungan baharu untuk Fallout 76 bersama dengan Bethesda.

Sohor Kini