Seperti yang diumumkan sebelum ini, pakej langganan baharu untuk PlayStation Plus kini dilancarkan secara rasmi di beberapa negara di Asia termasuk juga Malaysia. Melaluinya, PlayStation Plus akan mempunyai tiga pakej berbeza iaitu Essential, Plus dan Deluxe.

Secara ringkasnya, penawaran mengikut pakej adalah seperti berikut;

  • PlayStation Plus Essential
    • Penawaran sama seperti PS Plus sedia ada
    • MYR 29 sebulan / MYR 69 suku / MYR 159 tahunan
  • PlayStation Plus Extra
    • Tambahan lebih 400 permainan daripada PlayStation Studios dan juga pihak ketiga untuk PS4 dan PS5 yang boleh dimuat turun secara percuma (selagi ada langganan)
    • MYR 44 bulanan / MYR 114 suku / MYR 269 tahunan
  • PlayStation Plus Deluxe
    • Seperti PS Plus Extra dengan tambahan permainan PlayStation, PS2 dan PSP untuk dimuat turun secara percuma (selagi ada langganan)
    • MYR 50 bulanan / MYR 130 suku / MYR 309 tahunan

Cara untuk melanggan adalah ringkas sahaja bagi anda yang tidak mempunyai langganan PS Plus sedia ada. Anda boleh memilih salah satu daripada tiga pakej tersebut, kemudian memilih untuk membayar setiap bulan, setiap suku ataupun setiap tahun yang akan mempunyai potongan harga tersendiri.

Manakala bagi anda yang mempunyai langganan sedia ada, ia berfungsi sedikit berbeza dan sesetengah pelanggan mungkin tidak menyukai.

Cara Naik Taraf

Jika anda mempunyai langganan PS Plus sedia ada, secara automatik anda akan memasuki pakej Essential, oleh kerana ia menggunakan harga yang sama dengan langganan PS Plus sebelum ini, anda tidak perlu melakukan sebarang bayaran tambahan melainkan ingin menambah tempoh.

Jika anda ingin naik taraf, anda hanya perlu membayar tambahan selepas harga ditolak dengan jumlah langganan yang anda ada sebelum ini. Contohnya saya mempunyai langganan PS Plus sehingga 20 November 2023, iaitu 545 hari ataupun lebih kurang setahun 6 bulan.

Jika saya ingin naik taraf ke Deluxe untuk tempoh langganan yang sama, harga sebenar adalah RM309 untuk setahun dan RM250 untuk 6 bulan tambahan, iaitu RM559. Sebaliknya saya hanya perlu membayar RM224.38 sahaja dengan selebihnya ditolak daripada langganan PS Plus saya semasa.

Ini adalah perkara yang baik dan tidak merugikan langganan sebelum ini, namun ia mempunyai satu masalah iaitu saya tidak boleh memilih tempoh langganan pajek Deluxe, sebaliknya perlu melanggannya untuk satu tempoh yang sama.

Jika anda mempunyai langganan PS Plus untuk beberapa tahun, kos untuk naik taraf walaupun selepas ditolak langganan semasa, masih lagi tinggi. Ini adalah apa yang berlaku kepada rakan kami di Nextrift, di mana mereka mempunyai langganan PS Plus semasa sehingga 23 November 2024, dan kos untuk naik taraf ke Deluxe selepas ditolak adalah RM410.24.

Oleh itu, buat masa ini tiada cara untuk anda contohnya mencuba Deluxe untuk sebulan, jika sudah mempunyai langganan PS Plus tersedia. Ia sudah semestinya satu perkara yang perlu dipertingkatkan oleh Sony, contohnya membenarkan pelanggan untuk melanggan Deluxe untuk sebulan dan hentikan buat sementara waktu kiraan bagi langgan PS Plus yang sedia ada.

Apa Yang Ditawarkan?

Bagi Essential, penawaran adalah sama seperti langganan PS Plus sedia ada, manakala untuk Extra dan Deluxe, ia akan turut menyertakan katalog permainan yang boleh dimainkan tanpa bayaran tambahan selagi anda mempunyai langganan yang aktif.

Katalog Permainan PlayStation Plus menyertakan pelbagai permainan lama seperti Red Dead Redemption II, Mortak Kombat 11 dan juga permainan lebih terkini seperti Demon’s Souls, Marvel’s Guardians of the Galaxy. Anda boleh lihat senarai penuh di pautan ini.

Manakala Katalog Permainan Klasik PlayStation Plus yang ditawarkan untuk Deluxe sahaja menawarkan permainan-permainan PlayStation, PS2 dan PSP yang dihasilkan untuk PlayStation 4 dan juga PlayStation 5. Buat masa ini ia hanya mempunyai 16 permainan sahaja seperti Jak and Daxter, Toy Story 2 dan Oddworld.

Permainan Percubaan PlayStation Plus yang juga hanya ditawarkan untuk pelanggan Deluxe sahaja, membolehkan pemain untuk mencuba selama 2 jam permainan-permainan tertentu. Semasa penulisan ini, hanya terdapat 13 permainan sahaja antaranya adalah Horizon Forbidden West, Cyberpunk 2077, Tiny Tina’s Wonderland dan Biomutant.

Ia adalah satu jumlah yang sedikit akan tetapi Sony sebelum ini dilaporkan mewajibkan pembangun-pembangun untuk menyediakan sesi percubaan bagi permainan yang bernilai lebih RM150.

Sohor Kini