Pasukan Mobile Legends Malaysia petang tadi telah dikecewakan oleh Indonesia apabila tewas di peringkat separuh akhir dengan skor 2-1, yang sekali gus menghalang daripada Malaysia untuk merebut pingat emas menentang Filipina esok.

Kekecewaan tersebut berterusan apabila Malaysia tewas kepada pasukan Singapura dengan skor 2-0 untuk merebut pingat gangsa. Dengan kegagalan ini, Mobile Legends gagal membawa pingat kedua untuk esukan di Sukan SEA walaupun merupakan antara permainan yang menjadi sasaran untuk pingat sebelum ini.

Malaysia bermula dengan baik pada perlawanan pertama tetapi hilang momentum pada pertengahan perlawanan, dan Singapura mencuri skor pertama. Di pusingan kedua, giliran Singapura untuk bermula dengan baik akan tetapi strategi Malaysia menjadi apabila berjaya kembali dari ketinggalan untuk menjadikan skor 1-1.

Di pusingan penentuan, Malaysia dan Singapura bermula dengan berhati-hati dan Malaysia yang memulakan serangan terlebih dahulu, akan tetapi Singapura berjaya untuk kembali dan mendominasi perlawanan sehingga berjaya mendapat skor kedua dan pingat gangsa.

Perlawanan di antara Malaysia dan Singapura ini boleh dikatakan mengulangi perlawanan akhir untuk kejohanan Mobile Legends Professional League Musim Ke-6 di mana TODAK iaitu pasukan yang mewakili Malaysia melawan EVOS SG yang mewakili Singapura bagi temasya Sukan SEA ini. Namun, semasa perlawanan tersebut, TODAK berjaya mengalahkan EVOS SG.

Ia adalah musim terakhir di mana MPL melibatkan pasukan dari Malaysia dan Singapura di dalam satu pertandingan, bermula pada tahun 2021, MPL Malaysia dan Singapura diasingkan.

TODAK merupakan juara bagi MPL Malaysia musim ke-9 manakala EVOS SG merupakan naib juara untuk MPL Singapura Musim ke-3, tewas kepada pasukan RSG SG.

Pasukan Mobile Legends Malaysia adalah Idreen Bin Abdul Jamal (Momo), Muhammad Danial (CikuGais), Zikry Bin Shamsuddin (Moon), Wan Usman (4Meyz) dan Mohammad Zul Hisham Mohd Noor (Xorn) untuk barisan utama, Mohamad Farhan Wakiman (Moyy) dan Muhammad Amirul Raziq (Ajiq) untuk pemain simpanan.

Gambar disediakan oleh Sukan SEA

Sohor Kini