Ulasan The Assistant – Aksi Padu, Tapi Cerita Sendu

Aku adalah peminat filem yang penuh dengan misteri, perlu berfikir dan kadangkala yang memeningkan. Filem-filem mind blowing seperti Memento, Fight Club, Shutter Island, Tenet dan banyak lagi memang aku akan tonton berulang kali. Aku pernah tonton yang beberapa yang Korea, selebihnya Inggeris. Dalam ingatan aku, aku tiada memori pernah menonton filem tempatan dengan konsep sebegini.

Terkini daripada Act 2 Pictures adalah filem The Assistant. Sebuah filem arahan Adrian Teh, iaitu pengarah yang mengarah filem Wira, Paskal, Pasal Kau dan Ada Hantu. Jika ada Adrian Teh, sudah pasti Hairul Azreen dan Henley Hii juga akan terlibat. Tetapi dalam filem ini, watak utama dilakonkan oleh Iedil Dzuhrie Alaudin.

Filem ini adalah sebuah filem yang cuba menjadi Fight Club dan Memento. Iaitu filem tempatan yang cuba memutarbelitkan jalan cerita untuk penonton berfikir. Fokus utama filem ini adalah mengenai Zafik, yang baru sahaja bebas dari penjara atas kesalahan yang bukan beliau lakukan. Ia adalah kisah dendam Zafik dengan bantuan Feroz. Namun apa yang berlaku dalam filem ini, bukanlah apa yang anda sangkakan.

Dalam artikel ulasan ini, aku akan lebih berkongsi mengenai apa yang aku suka dan tidak suka mengenai keseluruhan filem ini.

The Assistant mempunyai satu konsep yang menarik. Untuk apa yang penulis cuba sampaikan, aku faham dan aku boleh nampak. Filem ini mencuba sesuatu yang lain daripada yang lain, yang mana boleh aku katakana adalah satu cubaan yang berani. Menulis untuk filem yang mind blowing bukan mudah, ada banyak cerita terbelit, berpusing dan memeningkan. Filem ini jelas sekali ambil inspirasi Fight Club dan sedikit daripada filem Memento.

Prestasi lakonan dalam filem ini juga agak baik untuk beberapa watak yang ditulis dengan baik. Zafik lakonan Iedil Dzuhrie adalah antara yang terbaik. Raut wajah beliau, emosi yang diberikan, pergerakan dan cara percakapan beliau dalam filem ini amat meyakinkan. Namun ada sesetengah keputusan watak beliau lakukan sedikit dungu, tetapi keseluruhan yang menjadikan filem ini menarik adalah daripada Iedil. Dalam filem ini, watak Iedil mengalami masalah kecelaruan identiti. Identiti kedua beliau adalah yang berani dan ‘menjaga’ beliau daripada kesedihan dan kemurungan. Prestasi beliau membawa watak kedua ini juga cukup membuatkan aku rasa, beliau ada bakat dan potensi untuk memainkan watak yang lebih rumit.

Paling penting dalam filem ini adalah, aksi dan sinematografi. Koreografi aksi dalam filem ini akan membuatkan anda ternganga. Aku suka setiap adegan pergaduhan yang ada dalam filem ini. Cara beliau tumbuk-menumbuk, tendang ke elak ke atau juga halang adalah antara yang memuaskan. Aku rasa seronok dan teruja kerana setiap pergerakan dirancang dengan baik dan kelihatan realistik.

Beberapa bahagian sinematografi pun aku agak tidak sangka yang sebuah filem tempatan berjaya lakukan. Ada satu babak aksi ini melibatkan cermin, penggunaan kamera dan suntingan babak ini cantik dan aku semasa tonton dalam wayang terus berkata WOW!. Rakaman untuk aksi juga cukup baik dan tidak memeningkan seperti kebanyakan filem aksi tempatan. Penggunaan kamera lain baik sahaja, cuma aku sedikit kecewa tiada penggunaan helah kamera untuk mendedahkan identiti Zafik dan Feroz yang nampak cantik atau hebat seperti Fight Club.

Itu sedikit sebanyak apa yang aku suka. Mari aku kongsi pula perkara yang aku tidak puas hati dengan filem ini, iaitu jalan cerita. Pertama sekali jalan cerita filem ini terlampau klise. Tahap klise filem ini adalah dalam treler sudah boleh agak apakah kisah filem ini dan apa yang akan terjadi di akhir filem. Di dalam treler, penjahat utama sudah didedahkan dan peminat Hairul Azreen dan Henly Hii pasti juga boleh teka. Bahkan, semasa menonton kurang setengah jam aku sudah ramalkan penutup filem ini akan berlaku bagaimana dan aku jadi tidak seronok tonton apabila ramalan aku itu tepat.

Walaupun filem ini mempunyai konsep yang menarik, penulisan filem ini amat lemah sekali. Ia menjadikan pengalaman menonton filem ini sendu untuk aku. Dialog satu watak wanita ini bersama satu watak yang sudah berusia juga bercampur aduk dengan panggilan yang berbeza dan kadangkala berubah menjadi dari sudut pandangan diri ketiga. Banyak bahagian dalam filem ada potensi untuk menjadi bagus dan membuatkan aku ternganga kegembiraan, namun penulisan yang seakan ingin mencari jalan pintas agar skrip siap cepat bukan satu perkara yang baik.

Ada juga bahagian filem ini cuba menggunakan CGI untuk aksi. Tetapi ia tidak berkualiti dan satu perkara yang patut terus dibuang. Adakah ia arahan pengarah atau studio? Semasa aku berpeluang menemuramah Iedil, Hairul dan Henly, mereka menyatakan setiap kali sebelum penggambaran aksi bermula mereka akan mempunyai latihan. Latihan senaman dan latihan membina badan ini memang menjadi dan hasil mereka tunjukkan itu ada. Namun adegan yang menggunakan CGI ini jika lihat sebenarnya boleh sahaja menggunakan kaedah praktikal.

Watak lain yang aku rasa kurang sedikit prestasi lakonannya adalah Hairul Azreen sendiri. Watak utama filem ini adalah Iedil, dan fokus utama sepatutnya kepada beliau kerana ia adalah masalah watak beliau Zafik. Namun watak Hairul, Feroz seakan cuba merampas thunder atau highlight Zafik. Perwatakan beliau juga sedikit menjengkelkan dengan gelak tawa psiko yang tidak meyakinkan. Gelak tawa psiko Zafik walau bagaimanapun cukup menjadi dan hebat, tetapi hanya sedikit sahaja ditunjuk. Hairul walau bagaimanapun hebat dalam beraksi. Pergerakan beliau yang lancar dan mantap akan membuatkan anda suka melihat satu aksi yang memuaskan.

Filem ini jika aku beri nilai daripada perspektif profesional aku, ia bukannya yang terbaik, tetapi satu cubaan yang baik. Kalau aku pandang dari perspektif penonton biasa, aku boleh katakan aku boleh terima dengan apa yang Adrian Teh hasilkan. The Assistant adalah sebuah filem aksi dengan sedikit elemen psiko atau mind blowing yang tidak begitu memeningkan tetapi akan mudah membawa penonton rasa gembira menonton.

Peminat Iedil, Hairul, Henly dan karya Adrian Teh mungkin akan sukakan filem ini. Jika anda rasakan jalan ceritanya lemah, nikmati sahaja degan aksi dalam filem ini.

Filem ini akan mula ditayangkan pada 19 Mei kepada umum. Jika anda ingin tonton, pastikan tunggu sehingga ia benar-benar tamat. Ada satu adegan tambahan untuk penampilan khas dari satu watak. Walaupun sedikit mengarut, tetapi jika filem ini laku ia ada potensi untuk mempunyai sekuel.

Penafian: Ulasan filem ini adalah berdasarkan tayangan yang Sony Pictures sediakan Februari lalu untuk tujuan ulasan.

The Assistant
Akan ditayangkan pada 19 Mei
Kisah Zafik yang ingin balas dendam kerana dipenjerakan atas kesalahan membunuh keluarga sendiri, sedangkan ia bukan salah laku beliau. Zafik dibantu oleh Feroz dan mula terlibat dengan aktiviti gangster. Rahsia juga sedikit demi sedikit mula terbongkar.
Positif
Koreografi aksi yang menarik dengan rakaman aksi yang cantik
Konsep menarik untuk sebuah filem tempatan
Negatif
Penceritaan yang sendu dan klise
Prestasi lakonan tidak begitu memuaskan untuk kebanyakan watak
4.9
Skor Ulasan

Sohor Kini