Netflix Akan Kembali Dengan Musim Keenam Black Mirror

Black Mirror adalah siri antologi yang cukup popular. Ia memperlihatkan perkara negatif di sebalik teknologi masa kini jika pengguna mengalami obsesi, ada salah guna dan pelbagai lagi. Black Mirror turut mempunyai filem interaktif yang menarik.

Siri TV ini mempunyai lima musim dengan siaran terakhir adalah pada tiga tahun lepas, iaitu 2019. Jika anda tertanya kenapa tiada musim baru atau filem sejak itu?

Ia adalah kerana pencipta Black Mirror, Charlie Brooker dan Annabel Jones tinggalkan House of Tomorrow studio yang menghasilkan Black Mirror. Mereka kemudian tubuhkan Broke and Bones dengan bantuan Netflix. Disebabkan hak Black Mirror dipegang oleh House of Tomorrow yang kini berada di bawah Banijay Group, Netflix tidak dapat meneruskan musim baharu atau kandungan terkini Black Mirror.

Sehinggalah baru-baru ini, Variety mengumumkan yang Netflix akan hadir dengan Black Mirror musim keenam.

Setakat ini, tiada maklumat lagi mengenai siri TV ini. Tiada pengarah, penulis dan tarikh siaran kerana mereka dalam proses mencari pelakon. Musim keenam juga akan lebih memfokuskan kepada konsep filem pendek untuk setiap episod dan mempunyai kualiti produksi dan sinematografi yang tinggi. Ia juga akan mempunyai lebih banyak episod daripada musim lepas.

Sama-sama kita nantikan.

Sohor Kini