MLB The Show adalah satu siri permainan yang boleh dikatakan sebagai permainan utama di dalam genre simulasi besbol, ia dibangunkan oleh San Diego Studio iaitu studio di bawah PlayStation Studios, dan buat tahun kedua MLB The Show dikeluarkan untuk pelbagai konsol iaitu PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series dan Nintendo Switch.
Besbol adalah satu sukan yang selain daripada aspek fizikal dan athletic, ia menekan perihal teknikal dan MLB The Show 22 menyampaikan aspek tersebut dengan baik sekali. Ia bukan permainan yang mempunyai banyak pergerakan, ataupun kawalan yang berterusan seperti bola sepak ataupun bola keranjang, oleh itu permainan simulasi besbol memerlukan perkara yang lain untuk menjadikan ia menarik dan permainan ini berjaya melakukannya.
Keseronokan utama di dalam permainan MLB The Show 22 adalah sistem kawalan yang disediakan, untuk setiap bahagian besbol, seperti pitching, fielding ataupun batting, setiapnya mempunyai kawalan tersendiri dan bergantung kepada tahap pemain, pelbagai sistem kawalan boleh dipilih dan dicampur-campur untuk memberikan pengalaman bermain yang terbaik, dari cara paling mudah seperti menekan satu butang sahaja sehinggalah yang lebih rumit seperti menggerakkan analog dengan sebaik yang mungkin.
Oleh kerana sukan besbol, mempunyai tiga bahagian utama seperti yang saya nyatakan di atas, permainan mungkin menjadi sedikit mengelirukan, oleh itu, saya sangat syorkan untuk bermula dengan tetapan kawalan yang paling mudah terlebih dahulu, sebelum dari semasa ke semasa mengubahnya ke tetapan yang lebih menyeronokkan.
Satu lagi perkara yang disertakan dengan baik sekali adalah tahap kesukaran yang dinamik, jika anda bermain dengan AI terdapat beberapa tahap kesukaran yang berbeza, dan sebagai pemain yang boleh dikatakan baharu di dalam permainan ini, saya menggunakan sistem dinamik. Ia bermula dengan tahap kesukaran yang paling mudah, kemudian akan meningkatkan secara sendiri. Saya boleh katakan yang apabila saya terasa sesi permainan menjadi mudah, permainan ini akan meningkatkan tahap selepas itu, bagi saya ia satu sistem yang sangat baik.
Kawalan dan tahap kesukaran dinamik menjadi lebih menarik kerana kepelbagaian mod-mod permain yang disediakan. Secara keseluruhan terdapat 4 mod utama iaitu Road to the Show, Diamond Dynasty, March to October dan Franchise bersama dengan mod-mod lain. Setiap daripada mod ini, mempunyai penawaran tersendiri, dan bagi saya perkara yang menarik mengenai kesemua mod ini, adalah ia seronok untuk dimainkan secara berseorangan.
Mod paling lama saya luangkan masa untuk ulasan ini adalah Road to the Show, ia adalah mod yang memerlukan pemain untuk menghasilkan pemain sendiri dan perlu bermain, di mana-mana posisi. Ia adalah satu mod permainan yang akan mengambil masa yang lama kerana pemain akan bermula dari liga bawah sehinggalah memasuki pasukan utama MLB, namun ia juga adalah mod yang sangat menarik kerana dapat melihat pemain anda “membesar”.
Ia tidak mempunyai “penceritaan” seperti di dalam NBA 2K ataupun FIFA suatu ketika dahulu, akan tetapi ia mempunyai beberapa segmen temubual di mana mereka bercakap mengenai prestasi semasa walaupun tidak secara terus. Ia sudah cukup untuk menjadi perantaraan, walaupun saya kebiasaannya skip untuk terus ke perlawanan seterusnya. Mod ini sepenuhnya dimainkan secara solo akan tetapi boleh menggunakan pemain tersebut di dalam Diamond Dynasty.
Diamond Dynasty pula adalah mod seperti FIFA Ultimate Team, di mana anda boleh membentuk pasukan dengan mendapatkan pemain dari pek-pek yang boleh dibeli menggunakan wang ringgit ataupun mata wang di dalam permainan ini. FIFA Ultimate Team adalah mod yang saya bermain sepanjang tahun, dan saya menyukainya, bagi Diamond Dynasty, saya tidak sangat menyukainya sebab utama adalah saya tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai MLB. Oleh itu, apabila saya mendapatkan mana-mana pemain saya tidak berasa seronok sepertimana saya mendapat Ronaldo di dalam FUT contohnya.
Namun, ia masih lagi satu mod yang baik jika anda suka mengumpul, saya tidak mempunyai pengalaman yang mencukupi untuk memberi pendapat mengenai sama ada ia boleh dimainkan dengan baik tanpa berbelanja, akan tetapi saya boleh katakan ia mempunyai pelbagai mod yang boleh dimainkan dengan baik secara solo ataupun bermain secara dalam talian. Dengan kata lain ia mempunyai mod mencukupi untuk semua pemain.
Mod March to October adalah mod yang khusus untuk permainan secara solo, di mana pemain boleh memilih mana-mana pasukan MLB dan perlu bermain melalui sesi permainan yang mempunyai ‘skrip’ tersendiri. Pemain akan bermain liga penuh, akan tetapi kebanyakan perlawanan akan di-simulasi untuk mengetahui keputusannya. Manakala beberapa perlawanan yang akan dimainkan akan mempunyai senario tersendiri. Ia adalah mod yang menarik, terutama jika ingin mencuba mana-mana pasukan yang anda minat.
Manakala mod terakhir iaitu Franchise ia adalah mod seperti Football Manager, di mana anda akan mengurus satu pasukan ataupun membentuk pasukan tersendiri. Seperti saya katakan sebelum ini, besbol adalah permainan teknikal dan mod ini juga dihasilkan dengan sangat mendalam. Terdapat pelbagai elemen yang perlu di kawal, jika pemain inginkan, tetapi pemain juga boleh membiarkan kesemua perkara tersebut diurus oleh AI dan pemain memfokuskan kepada sesi bermain sahaja. Ia menarik dan mendalam, sangat baik bagi yang menyukai mod pengurusan seperti ini.
Secara amnya, kepelbagaian mod yang disediakan, tambahan lagi kebanyakan daripadanya boleh dimainkan secara solo menjadikan ia satu permainan sukan untuk semua. Jika anda ingin bermain secara kompetitif, ia juga mempunyai mod untuknya. Ini ditambah lagi dengan sistem kawalan dan kesukaran yang saya terangkan di atas, ia adalah satu permainan yang sangat baik bukan sahaja untuk anda yang sudah bertahun-tahun bermain MLB The Show ataupun buat pertama kali.
Saya telah mencuba permainan ini di kedua-dua konsol generasi baharu iaitu PlayStation 5 dan Xbox Series. Saya boleh katakan ia mempunyai grafik yang mencukupi, animasi yang dilakukan adalah sangat baik terutama apabila melakukan pelbagai jenis balingan semasa bermain. Rekaan persekitaran, padang dan juga cuaca juga nampak realistik walaupun ada masa lampu-lampu di stadium nampak pelik selain itu terdapat juga animasi dan juga ekspresi muka nampak sangat aneh.
Selain itu, terdapat juga pepijat seperti AI tidak melakukan tugasan mereka dengan baik, contohnya tidak membaling bola walaupun ada yang sedang berlari. Kadang-kadang ada juga permainan terhenti tanpa sebab. Ia akan mengganggu sesi permainan tersebut, tetapi jarang berlaku oleh itu ia bukan masalah yang besar. Namun, masih perlu diperbaiki oleh San Diego Studio.
Manakala di konsol generasi lepas, saya mencubanya di PlayStation 4 dan ia juga memperlihatkan kualiti yang baik, namun ia mempunyai masalah untuk beberapa mod, contohnya Road to the Show di mana adegan perantaraan seperti podsiar dan temubual tidak diperlihatkan dan sekadar dengan audio sahaja. Namun, secara amnya ia adalah prestasi yang baik dan tidak banyak berbeza dengan versi generasi terkini. Manakala untuk Nintendo Switch, saya tidak mencubanya akan tetapi dari segi sesi permainan saya rasakan tidak banyak masalah yang berlaku walaupun grafik adalah kurang jika ingin dibandingkan dengan konsol lain.
Akhir kata, MLB The Show 22 adalah satu permainan simulasi besbol yang sangat baik, tambahan pada itu, ia juga tidak mempunyai banyak pesaing di pasaran sekarang. Walaupun saya kurang mengetahui mengenai permainan ini ataupun sukan besbol sendiri, akan tetapi dengan kepelbagaian tetapan yang disediakan, ia tidak mengambil masa yang lama untuk saya terus tertarik dengan keseluruhan permainan.
Ini ditambah lagi dengan kepelbagaian mod yang ada, menjadikan saya tidak bosan dengan apa yang boleh dilakukan di dalam permainan ini. Oleh kerana saya masih baharu, saya juga tidak sangat mencuba sesi dalam talian, namun permainan ini mempunyai banyak mod yang boleh dimainkan secara solo, dan ia bukan terhad kepada satu-dua mod sahaja, tetapi kesemua mod boleh dimainkan secara solo. Namun, jika anda ingin bermain kompetitif, ia juga menyertakan mod ini dengan mencukupi.
Dengan kata lain, MLB The Show 22 adalah permainan yang boleh dimainkan oleh sesiapa sahaja termasuk juga anda yang tidak mengikuti mengenai sukan besbol.